AS sasar industri pembinaan kapal China melalui langkah perdagangan baharu

Iklan
Amerika Syarikat mengumumkan langkah perdagangan baharu yang menyasarkan sektor maritim, logistik dan pembinaan kapal China, dengan menuduh Beijing mengamalkan kaedah tidak adil bagi mendominasi pasaran global - Foto: Agensi

NEW YORK - Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengumumkan langkah perdagangan baharu yang menyasarkan sektor maritim, logistik dan pembinaan kapal China, dengan menuduh Beijing mengamalkan kaedah tidak adil bagi mendominasi pasaran global, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Industri perkapalan dan penghantaran jalan laut adalah penting untuk keselamatan ekonomi Amerika dan kelancaran aliran perdagangan,” kata Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer.

Iklan
Iklan

"Tindakan pentadbiran Trump ini akan mula mengurangkan dominasi China, menangani ancaman terhadap rantaian bekalan AS, dan menghantar isyarat permintaan terhadap kapal buatan AS,” katanya.

Langkah ini diambil di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 selepas siasatan selama setahun oleh Pejabat Wakil Perdagangan AS.

Iklan

Pelaksanaan langkah itu akan dibuat dalam dua fasa. Pada fasa pertama, tiada bayaran akan dikenakan selama 180 hari.

Selepas tempoh itu, AS akan menaikkan bayaran secara berperingkat ke atas pemilik dan pengendali kapal China berdasarkan berat tan bersih bagi setiap pelayaran ke AS; pengendali kapal buatan China berdasarkan berat tan atau jumlah kontena; serta kapal pengangkut kereta buatan asing, dengan struktur yang memberi kelebihan kepada kapal buatan AS.

Iklan

Fasa kedua yang dijadual bermula dalam tempoh tiga tahun akan memperkenalkan sekatan secara berperingkat selama 22 tahun ke atas pengangkutan gas asli cecair (LNG) menggunakan kapal buatan asing, bagi menyokong penggunaan kapal LNG buatan AS.

Seksyen 301 membolehkan AS mengambil tindakan terhadap amalan asing yang dianggap tidak adil atau memudaratkan perdagangan Amerika. - Bernama