Suspek kes ragut wanita warga asing ditahan tak sampai 24 jam

Iklan
Mangsa cuba mengejar suspek namun gagal menyebabkan dia membuat laporan polis selepas kejadian berkenaan. Gambar kecil: Abdul Rozak

GEORGE TOWN - Polis berjaya menyelesaikan kes samun ragut yang tular di media sosial melibatkan seorang wanita warga asing di Jalan Pintal Tali di sini apabila suspek ditahan kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian kira-kira jam 4.50 petang pada Khamis berlaku ketika mangsa yang berusia 40 tahun sedang berjalan seorang diri sebelum didatangi seorang lelaki menaiki motosikal dari arah belakang dan meragut beg tangannya.

Iklan
Iklan

"Mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama kira-kira jam 9.35 malam. Antara barangan yang dilarikan ialah wang tunai RM1,000 dan sebuah telefon bimbit.

"Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Tambah beliau, hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan, pihak polis berjaya menahan suspek, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun kira-kira jam 1 petang Jumaat.

"Suspek ditahan dan kita merampas sebuah motosikal, topi keledar dan kunci yang dipercayai digunakan ketika kejadian, selain wang tunai dan telefon bimbit milik mangsa.

Iklan

"Suspek akan direman bermula esok (Sabtu) bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rozak menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video kejadian yang tular sehingga boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Sebelum ini tular di media sosial sebuah klip video berdurasi 38 saat yang memaparkan seorang wanita yang berjalan seorang diri telah diragut beg tangannya oleh seorang individu yang menunggang motosikal.

Mangsa cuba mengejar namun gagal selepas suspek memecut laju motosikalnya.