KAJANG - Kegiatan haram seorang lelaki yang dipercayai terlibat menjual batu landak raya terbongkar selepas kediamannya di Bandar Sungai Long, di sini, diserbu pihak berkuasa, pada Khamis.
Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) itu dijalankan sepasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi kira-kira jam 3 petang hasil maklumat dan risikan itu bertindak menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun.
Katanya, pemeriksaan lanjut di kediaman suspek menemui 34 disyaki batu landak raya.
"Turut dijumpai ialah 32 disyaki duri landak raya selain rampasan dua telefon bimbit, bil elektrik dan salinan resit urus niaga.
"Kesemua nilai rampasan berjumlah RM582,640 dan suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Abdul Kadir berkata, siasatan mendapati suspek merupakan pengurus perniagaan bagi ubatan tradisional dan telak aktif lebih dari tiga tahun.
Menurut beliau, batu landak raya itu dipercayai dijual suspek sebagai ubatan tradisional.
"Aktiviti jualan itu dilakukan secara dalam talian dari rumahnya dan barang dihantar kepada pelanggan menggunakan khidmat kurier," ujarnya.
Tegasnya, Jabatan Perhilitan memberi amaran kepada mana-mana individu yang menyimpan atau menjalankan aktiviti jenayah hidupan liar agar menghentikan aktiviti terbabit atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas.
Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].