KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengurus di Petronas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba mendedahkan dokumen sulit berkaitan prestasi operasi dan kewangan syarikat minyak nasional itu kepada Syarikat Petroleum Sarawak (Petros), Jun tahun lepas.
Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni, 40, didakwa cuba melakukan pendedahan maklumat iaitu satu dokumen bertajuk"Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial” kepada Petros, iaitu dokumen berkenaan telah diperoleh ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas, di sebuah unit kondominium di Jalan Pinang, di sini, antara 3.19 petang dan 3.21 petang, 8 Jun 2024.