Malaysia tarik balik misi bantuan ke Myanmar jika pasukan perubatan diancam

Iklan
Mohamad ketika ditemui pemberita selepas menyantuni orang ramai di Kampung Pasir, Temoh di Tapah pada Jumaat.

TAPAH - Malaysia tidak teragak-teragak untuk menarik kembali misi bantuan kemanusiaan pasca gempa bumi di Myanmar sekiranya terdapat ancaman keselamatan pasukan perubatan yang terlibat.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap faktor keselamatan dan perkara itu perlu diberi perhatian oleh Myanmar.

Iklan
Iklan

Mohamad berkata, pihaknya telah meminta negara itu untuk menghentikan sebarang pergolakan bagi membolehkan misi bantuan dan pemulihan dapat digerakkan.

"Jangan pada ketika negara menghadapi bencana, mereka masih lagi bergaduh. Kalau saya dengar atau dapati bahawa wujudnya isu-isu yang boleh memudaratkan keselamatan, kita tidak akan teragak-agak untuk menarik balik pasukan perubatan.

Iklan

"Bukan saja pada Malaysia, saya telah beritahu rakan sejawat daripada ASEAN dan juga daripada antarabangsa menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kami akan tarik keluar.

"Jadi jangan cuba sekali-kali untuk mereka tidak mempedulikan keselamatan pasukan perubatan kita di sana," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni orang ramai di Kampung Pasir, Temoh di sini pada Jumaat.

Iklan

Media melaporkan Malaysia menghantar pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Myanmar bagi melaksanakan Operasi Bantuan Kemanusiaan (Operasi Starlight III) susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu.

Pasukan itu melibatkan 69 orang terdiri daripada 16 pegawai dan 53 anggota daripada pelbagai kepakaran antaranya Forward Anaesthesia and Surgical Team (FAST) Hospital Medan Malaysia, elemen dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bersama pasukan keselamatan.

Mohamad sekali lagi menegaskan bahawa penglibatan negara menyampaikan bantuan tidak membawa maksud pengiktirafan politik terhadap junta negara itu.

"Penglibatan Malaysia dan negara-negara ASEAN bukan bermakna kita mengiktiraf kerajaan sekarang sebaliknya ia bantuan kemanusiaan daripada ASEAN.

"Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini kita menerajui itu yang mana kita mengurus untuk membantu rakyat Myanmar yang rata-rata mengalami bencana ini dengan teruk sekali," katanya.