'Pemergian bapa bukan kejutan tapi perpisahan menyayat hati'

Iklan
Menurut Nori (kiri), pemergian bapanya disifatkan sebagai sebuah permulaan untuk lebih ramai mengenali sisi peribadi dan perjuangan melalui rakaman, penulisan dan bahan-bahan yang dirakamkan sepanjang hayatnya. -IG kitafamilypodcast

"PEMERGIAN bapa bukan satu kejutan, sebaliknya satu perpisahan yang perlahan dan menyayat hati kesan daripada penyakit demensia yang dialami sejak beberapa tahun lalu."

Puteri kesayangan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Nori Abdullah menerusi nukilan sayu di akaun kitafamilypodcast di Instagram berkata, perpisahan yang berlaku terasa begitu panjang dan berjalan dalam banyak cara.

Iklan
Iklan

"Sudah sekian lama kami mengucapkan selamat tinggal dalam pelbagai cara kerana itulah yang dilalui oleh sesiapa apabila berdepan dengan demensia.

"Dalam beberapa hal, saya bersyukur kerana dengan keadaan itu, beliau terhindar daripada begitu banyak kesakitan dan kebimbangan, walaupun saya sendiri kehilangan tempat untuk meminta nasihat dan menghibur hati,” luahnya.

Iklan

Dalam hantaran sama, Nori berkata, perpisahan terakhir ini amat memilukan, namun dalam masa sama ada ketenangan yang datang daripada limpahan mesej, bukan sekadar ucapan takziah, tetapi penghargaan dan kata-kata yang indah mengenai arwah bapanya.

"Ada kasih sayang dan penghormatan yang tulus. Ia ibarat pengebumian dan penghormatan negara yang wang tidak mampu beli. Tuhan itu Maha Pemurah," katanya.

Iklan

Nori dalam pada itu turut menyifatkan pengebumian yang berlangsung sebelum ini sebagai satu penghormatan buat bapanya.

"Ia sesuatu yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit dan bukti kasih sayang rakyat terhadap tokoh yang pernah memimpin negara.

"Meski sedih, dalam masa sama saya rasa tenang. Mesej-mesej takziah dan penghargaan diterima benar-benar menyentuh hati. Allah itu Maha Pemurah,” katanya.

Tambah beliau lagi, pemergian bapanya disifatkan sebagai sebuah permulaan untuk lebih ramai mengenali sisi peribadi dan perjuangan melalui rakaman, penulisan dan bahan-bahan yang dirakamkan sepanjang hayatnya.

"Sebagai Siti Baba-mu, saya berharap dan berdoa agar ayah sudah cukup berusaha untuk menjadi insan yang diredai Tuhan," katanya. - Awani