SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap seorang pengguna Facebook yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam laman sosial miliknya pada Rabu.
Menurut beliau, tindakan individu tersebut mengeluarkan komen menghasut yang mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong merupakan satu perbuatan sangat melampau.
"Jangan pula, selepas ini guna alasan gila ataupun akaun digodam. Sudah tiba masanya undang-undang agama, kaum dan institusi diraja (3R) ini diberikan hukuman jauh lebih berat daripada apa ada sekarang.
"Barulah, boleh mendidik dan memberi pengajaran pada mereka yang tidak sedar untung ini," katanya melalui hantaran Facebook pada Khamis.
Terdahulu, seorang pengguna Facebook ‘Cayson Goh’ didakwa membuat hantaran menggunakan kata-kata kesat berhubung keberadaan Sultan Ibrahim dalam sambutan negara terhadap Presiden China, Xi Jinping, pada Rabu.
Lelaki terbabit memuat naik tulisan itu dalam bahasa Cina dan terjemahan kata-kata terbabit didakwa mengandungi beberapa komen yang berunsur penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda.
Dalam hantaran sama, Dr Muhammad Akmal turut memuat naik beberapa tangkap layar akaun pengguna Facebook itu serta hantaran komen jelik yang dimuatnaiknya.
Bagaimanapun, melalui carian Sinar Harian di Facebook, hantaran berkenaan didapati sudah tiada dan dipercayai telah dipadamkan pengguna media sosial berkenaan.