SHAH ALAM - Resorts World Genting (RWG) menawarkan diskaun sehingga 88 peratus kepada pengunjung yang hadir ke MATTA Fair 2025 yang akan berlangsung dari 18 hingga 20 April 2025 di Aras 1, Dewan Domestik, reruai 1L01–1L12, Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Tawaran itu dibuat bersempena sambutan ulang tahun RWG ke-60 selain memberi peluang kepada pengunjung untuk mencipta kenangan manis di pusat peranginan milik mereka di Malaysia.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awamnya, Spencer Lee berkata, pengunjung juga boleh menempah bilik hotel dengan harga istimewa iaitu RM600 untuk penginapan di hotel mewah Crockfords atau Hotel First World serendah RM59.
"Pengunjung boleh mendapatkan tawaran luar biasa termasuk diskaun sehingga 88 peratus untuk penginapan hotel terpilih dan 66 peratus potongan untuk tiket taman tema.
"Ini adalah masa terbaik untuk menikmati percutian berbaloi bersama keluarga atau rakan-rakan.
"RWG turut menawarkan Promosi Waktu Istimewa di mana pengunjung boleh menempah bilik Superior Deluxe di Resorts World Awana pada harga hanya RM60 eksklusif pada waktu-waktu tertentu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, menurut Spencer, pengunjung yang berbelanja sebanyak RM66 dan ke atas dalam satu resit berpeluang memenangi hadiah menarik menerusi Interactive 60th Anniversary Wall.
Bagi mereka yang berbelanja RM600 ke atas atau membeli pas Unlimited X-Perience, akan menerima Set Hadiah Ulang Tahun ke-60 yang eksklusif sebagai cenderamata istimewa sempena sambutan bersejarah itu.
"Pengunjung juga boleh meneroka tawaran menarik daripada Resorts World Cruises dan Malaysia Airlines di reruai yang sama iaitu Resort World Tours,” ujarnya.
Spencer berkata, orang ramai juga boleh menikmati percutian pelayaran yang menakjubkan selama dua atau tiga malam dari Melaka di atas kapal Genting Dream, serendah RM375 seorang.
Tambahnya, bagi mereka yang ingin menikmati pelayaran lebih panjang, terdapat juga pakej lima malam dari Melaka ke Pulau Pinang bermula dari RM2,399.
Dalam masa yang sama, Malaysia Airlines turut menawarkan tambang penerbangan domestik serendah RM21 sehala dari Kuala Lumpur ke destinasi di Semenanjung Malaysia dan dari RM105 ke destinasi di Malaysia Timur.
"Promosi Star Voyager pula menawarkan pakej bernilai tinggi seperti Twin Bundle Deals dari RM1,899, Buddy Pass dengan potongan 50 peratus untuk tetamu kedua dan promosi Palace dengan diskaun sehingga 60 peratus.
"Semua promosi istimewa ini hanya boleh didapati secara eksklusif di reruai Resorts World Tours sepanjang MATTA Fair 2025.
"Ia merupakan usaha berterusan RWG dalam memastikan setiap pengunjung menerima pengalaman yang menyeronokkan dan penuh penghargaan,” jelasnya.
Sementara itu, Spencer berkata, kempen tersebut dilaksanakan bagi memberi penghargaan kepada orang ramai kerana terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang enam dekad itu.
Untuk maklumat lanjut mengenai promosi Resorts World Genting di MATTA Fair 2025, sila layari rwgenting.com atau ikuti saluran media sosial rasmi RWG.
"Sebagai meraikan ulang tahun ke-60, kami akan terus mencipta lebih banyak pengalaman bermakna melalui tawaran menarik dan ganjaran istimewa, sama ada untuk pengunjung setia atau mereka yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Resorts World Genting,” tambahnya.