PUTRAJAYA - Suasana penuh hormat dan kemesraan pemimpin berbeza ideologi politik yang terpancar ketika Istiadat Pengebumian Negara Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Selasa wajar dijadikan teladan kepada seluruh rakyat.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, kehadiran beberapa pemimpin utama negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta tiga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada waktu sama menunjukkan jiwa besar mereka walaupun seteru di medan politik.
Katanya, momen seperti Anwar bersalaman dengan Muhyiddin dan bekas orang kanannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta pelukan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali adalah gambaran jelas bahawa perbezaan ideologi politik tidak seharusnya memutuskan hubungan sesama insan.
"Saya lihat ini jiwa besar yang ditunjukkan pemimpin politik kepada semua, terutamanya penyokong yang taasub bahawa dalam kita berbeza ideologi, fahaman dan pandangan politik, kita tidak boleh sesekali memutuskan silaturahim dan persahabatan sesama insan disebabkan itu.
"Apatah lagi mereka hadir ke acara pengebumian tokoh politik yang paling sesuai diangkat sebagai contoh terbaik bagaimana politik budiman, bersih dan berintegriti yang ditunjukkan oleh Pak Lah sepanjang hayatnya harus menjadi teladan kepada bukan sahaja orang politik namun rakyat Malaysia umumnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Pak Lah selamat disemadikan di Makam Pahlawan di Masjid Negara di Kuala Lumpur jam 2.30 petang selepas disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) 7.10 malam Isnin.