JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang bertindak agresif terhadap anggota polis kini diburu selepas meloloskan diri daripada sekatan jalan raya di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.50 malam ketika dua anggota dari Balai Polis BSI sedang bertugas di laluan bas.
"Suspek yang memandu pacuan empat roda jenis Toyota Triton ditahan selepas didapati menggunakan laluan yang tidak dibenarkan.
"Semasa pemeriksaan dijalankan, suspek bertindak melarikan diri dan memandu secara berbahaya sejauh tujuh kilometer sebelum meninggalkan kenderaan di tepi jalan dan melarikan diri ke kawasan semak,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, susulan insiden itu, polis mengejar suspek dengan bantuan dua motosikal trafik dan lima kenderaan peronda (MPV).
Menurut beliau, siasatan turut mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk berkaitan penyalahgunaan dadah serta telah didaftarkan sebagai individu dikehendaki polis.
"Usaha mengesan suspek kini giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Radhiah Ahmad di talian 013-5665710 atau hotline IPD Johor Bahru Selatan di 07-2182323.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan," ujarnya lagi.
Sebelum itu, tular video berdurasi 14 saat memaparkan kenderaan pacuan empat roda berwarna putih memandu mengundur dan cuba mengelak dari seorang individu yang cuba memberhentikan kenderaan terbabit.