Pakai jubah KKK: PKPIM gesa universiti siasat, ambil tindakan disiplin

Iklan
Video sekumpulan pelajar UiTM yang mengenakan jubah seakan KKK tular di media sosial. Gambar kecil: Muhammad Adib Irfan Fazli

SHAH ALAM - Pihak universiti perlu segera menyiasat dan mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya ke atas sekumpulan penuntut pusat asasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dengkil yang berpakaian menyerupai kostum kumpulan pelampau bangsa.

Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Adib Irfan Fazli berkata, sebagai negara berbilang kaum dan agama, Malaysia tidak boleh bertolak ansur dengan sebarang bentuk budaya yang menormalisasi simbol-simbol kebencian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja mencemarkan imej institusi pengajian tinggi negara, malah memperlihatkan kejahilan membimbangkan terhadap sensitiviti kaum serta sejarah penindasan yang telah meragut jutaan nyawa dan maruah di seluruh dunia.

"PKPIM melahirkan rasa kesal mendalam terhadap tindakan segelintir pelajar universiti awam memakai kostum menyerupai simbol kumpulan pelampau perkauman, Ku Klux Klan (KKK) dalam satu program kampus yang kini tular di media sosial.

Iklan

"KKK bukan sekadar lambang kostum tetapi ia adalah simbol kebencian, keganasan, dan perkauman ekstrem yang telah menyasarkan orang Islam, kulit hitam, Yahudi dan imigran sejak berabad lamanya.

"Lebih-lebih lagi ia berlaku di universiti yang merupakan institusi untuk mencorak pemikiran generasi masa depan tetapi dengan tindakan sebegini amat memalukan dan merosakkan nilai keilmuan serta keharmonian sosial," ujar dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Terdahulu tular video berdurasi 15 saat memaparkan pelajar UITM Dengkil melakukan perbarisan KKK.

Video sekumpulan pelajar UiTM yang mengenakan jubah seakan KKK sehingga tular adalah sebahagian sesi pembentangan tugasan akademik.

Ia merupakan pembentangan dibuat oleh pelajar Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil, bagi kursus Contemporary Global and Legal Issues.

Tambah Muhammad Adib Irfan, Islam mengajar untuk menegakkan keadilan, menghormati perbezaan dan menyemai kasih sayang sesama insan.

"Maka, PKPIM mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab mengenakan kostum yang membawa konotasi perkauman, keganasan dan kebencian.

"Kami juga menyarankan agar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan seluruh Institut Pengajian Tinggi (IPT) agar memperkukuh program pendidikan antara budaya, latihan sensitiviti perkauman serta penghayatan nilai kemanusiaan sejagat dalam kalangan mahasiswa,"jelasnya.

Beliau turut mengajak seluruh mahasiswa dan rakyat Malaysia untuk bersatu menolak ideologi rasis, ekstremis dan budaya kebencian yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta nilai murni semua agama.

"Universiti seharusnya menjadi medan penyubur pemikiran terbuka, bukan tempat menyemai sentimen sempit dan berbahaya.

"PKPIM bersedia berganding bahu dengan semua pihak bagi memastikan kampus kekal sebagai ruang yang selamat, inklusif dan menjunjung nilai kemanusiaan," katanya.