KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu tidak meluluskan sebarang lesen perniagaan bagi penjualan produk vape atau rokok elektronik di semua kawasan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai langkah membanteras tabiat merokok dalam kalangan masyarakat.
Exco Kerajaan Tempatan Perumahan, dan Kesihatan Negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap trend peningkatan penggunaan vape dalam kalangan remaja dan golongan dewasa berusia 20 hingga 49 tahun yang disifatkan sebagai kelompok paling produktif dalam masyarakat.
Iklan
Iklan
"Berdasarkan statistik sepanjang tahun 2023 hingga Mac 2025, sebanyak 24 notis dan 183 kompaun telah dikeluarkan kepada premis-premis perniagaan yang dikesan menjalankan aktiviti penjualan vape tanpa lesen di negeri ini.
"Kerajaan negeri turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan dan penyitaan barangan akan terus dilaksanakan bagi premis yang beroperasi tanpa lesen selain mengenakan kompaun dan denda,"katanya ketika sesi penggulungan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Rabu.
Selain itu, katanya, penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024 turut memperkukuhkan usaha kerajaan dalam mengekang penggunaan vape dan rokok di negeri ini.
"Mengikut Seksyen 2 Akta 852, perbuatan menghisap vape disamakan dengan kesalahan merokok, sekali gus membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas individu yang melanggar larangan tersebut, termasuk di 28 kawasan larangan merokok yang telah diwartakan di bawah akta berkenaan.
"Kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) juga memberi jaminan bahawa pelan tindakan penguatkuasaan akan diperkasakan dari semasa ke semasa dalam membanteras aktiviti merokok dan menghisap vape terutama di kawasan larangan yang telah ditetapkan," ujarnya lagi.