KLANG - Polis Selangor dalam perancangan untuk memperluaskan unit dron di tiga buah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang mempunyai indeks jenayah tinggi di negeri ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia meliputi IPD Klang Utara, Serdang, dan Sungai Buloh dalam membantu mengekang serta membasmi jenayah di lokaliti berkenaan.
"Bagaimanapun, ia bergantung kepada peruntukan kewangan perolehan. Buat masa ini, selain di IPD Klang Selatan, dron turut digunakan di IPD Petaling Jaya dalam usaha pencegahan jenayah.
"Jadi, kesannya sangat bagus kerana sejak penggunaannya di Klang Selatan, tiada kes ragut dilaporkan," katanya.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Klang Selatan antara Asisten Komisioner Cha Hoong Fong kepada Asisten Komisioner Ramli Kasa.
Hussein menjelaskan, dron yang digunakan itu berfungsi secara automatik dengan membuat pemantauan seperti mana telah diselaraskan atau ditetapkan pihak polis.
"Bateri habis, dron akan turun balik dan mengecas sendiri sebelum naik melakukan pemantauan semula," katanya.
Dalam ucapannya di majlis berkenaan, Hussein memuji kejayaan yang dicapai oleh Hoong Fong sepanjang memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Klang Selatan, termasuk penubuhan unit dron.
"Ia menggunakan model Matrice 30 Thermal bernilai RM450,000, hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Komuniti untuk tinjauan kawasan pentadbiran IPD ini," katanya.