PENDEKATAN saintifik dalam aspek biomekanik permainan, fisiologi latihan dan pemulihan atlet menjadi teras utama Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP).
Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, pendekatan itu diyakini mampu mempertingkatkan keupayaan teknikal, fizikal dan mental atlet secara menyeluruh.
"Melalui NSTDP, bakat-bakat muda dari seluruh negara akan dikenal pasti dan diberi laluan pembangunan yang tersusun, bermula daripada program akar umbi, pusat latihan negeri sehinggalah ke skuad kebangsaan,” katanya selepas majlis pelancaran program tersebut di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Menurut beliau, program itu bukan sekadar inisiatif pembangunan, sebaliknya satu usaha menyeluruh yang bertujuan memperkukuh kedudukan sukan warisan negara itu dari peringkat akar umbi hingga ke pentas antarabangsa.
"NSTDP akan mewujudkan ekosistem lengkap yang menyokong pertumbuhan atlet dari awal pembabitan mereka hinggalah berpeluang beraksi di peringkat tertinggi,” katanya.
Program memperkasakan pembangunan akar umbi itu akan menerima peruntukan RM1.5 juta setahun daripada Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).
Dana ini akan digunakan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan di seluruh negara termasuk luar bandar bagi melahirkan lebih ramai pelapis baharu sukan berkenaan.
Tambah Sumali, pelaksanaan NSTDP mencerminkan komitmen bersepadu pelbagai pihak termasuk kerajaan, PSM, MSN, Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Sukan Negeri serta semua pihak berkepentingan dalam usaha memperkasa semula sukan sepak takraw negara.
"Inisiatif ini menandakan permulaan baharu dalam pembangunan bakat muda dan pengukuhan ekosistem sukan secara saintifik, sistematik dan mampan.
"Ia adalah pelan jangka panjang untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia dalam sukan sepak takraw,” katanya.
Sementara itu, Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PERSEWIP) berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh atas sokongan kementerian terhadap pembangunan sukan tersebut.
Selain itu, Sumali juga berterima kasih kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Norza Zakaria; Pengarah MSN, Jefri Ngadirin; Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr P Vellapandian dan KPM yang sentiasa menyokong perkembangan ekosistem sepak takraw negara.