KOTA BHARU – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa merampas 10 ekor lembu dan 25 kambing yang dipercayai diseludup dari Thailand semasa penugasan Op Taring Wawasan di dua lokasi berbeza pada Isnin
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 8.45 malam di Felda Kemahang 3, Tanah Merah apabila menahan sebuah pikap yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 25 ekor kambing bernilai RM177,500 ditemukan di belakang kenderaan tersebut.
"Seorang pemandu lelaki berusia 33 tahun ditahan selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berkaitan kambing tersebut," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Menurut beliau, dalam serbuan kedua pada jam 11 malam di Kampung Bukit Tandak, Rantau Panjang sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan telah ditahan.
Ujarnya, hasil pemeriksaan telah menemukan 10 ekor lembu bernilai RM96,000.
"Seorang lelaki berusia 43 turut ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan lembu berkenaan.
"Kes disiasat bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan semua haiwan yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya," katanya.