Aibkan Naib Canselor UM ketika konvokesyen, denda dinaikkan RM10,000

Iklan
Wong Yan Ke. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menaikkan denda RM5,000 kepada RM10,000 terhadap graduan Universiti Malaya (UM), Wong Yan Ke atas kesalahan mengaibkan dan membangkitkan kemarahan bekas Naib Canselornya ketika istiadat konvokesyen enam tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan silang pendakwaan selaku responden berhubung jumlah denda, sekali gus mengetepikan rayuan Yan Ke, 29, bagi sabitan serta hukuman.

Iklan
Iklan

Hakim berkata, setelah meneliti keseluruhan kes, tiada keraguan dalam kes pendakwaan, dan kesalahan seperti pertuduhan telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

"Mahkamah bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa denda berjumlah RM5,000 adalah tidak mencukupi dan tidak bersesuaian dengan fakta serta keadaan kes ini.

Iklan

"Denda RM5,000 diketepikan dan digantikan dengan RM10,000 atau enam bulan penjara jika denda gagal dibayar.

"Saya difahamkan perayu telah membayar RM5,000 sebelum ini. Oleh itu, dia dikehendaki membayar RM5,000 lagi,” ujarnya.

Iklan

Ketika membaca keputusan, beliau berkata, mahkamah mendapati pertuduhan yang dihadapi perayu mempunyai perkara-perkara yang disebut dalam Seksyen 152 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Menurutnya, ia membabitkan kesalahan yang dipertuduhkan iaitu sengaja mengaibkan dan mendatangkan kemarahan kepada Naib Canselor Universiti Malaya termasuk tetamu dalam istiadat berkenaan.

Beliau berkata, semasa prosiding di Mahkamah Majistret, bekas presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) itu telah diwakili peguam, dan melihat kepada soalan dalam pemeriksaan balas, perayu berupaya menyediakan pembelaan.

"Ini menunjukkan dia tidak diprejudis dan tidak dikelirukan kerana perayu berupaya menyediakan pembelaan. Maka, tidak berlaku ketidakadilan atau kekeliruan.

"Tiada alasan mencukupi untuk mengganggu keputusan Majistret bicara yang mensabitkan perayu, dan sabitan ke atasnya adalah selamat. Oleh itu, sabitan terhadap perayu dikekalkan," jelasnya.

Dalam prosiding ini, responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Khalijah Mohd Khalid, sementara pembelaan perayu dihadiri peguam, Farida Mohd.

Pada 26 Februari 2020, Yan Ke mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan sengaja mengaibkan dan membangkitkan kemarahan Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Ir (Dr) Abdul Rahim Hashim (ketika itu) dan tetamu dalam Istiadat Konvokesyen ke-59, Sidang Kelima.

Ia mungkin membangkitkan kemarahan dan menyebabkan pecah keamanan awam di Dewan Tuanku Canselor, UM, pada jam 10 pagi, 14 Oktober 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Pada 14 Oktober 2019, ketika istiadat konvokesyen itu, Yan Ke membawa plakad ke dalam Dewan Tuanku Canselor UM untuk mendesak pemimpin universiti meletakkan jawatan sambil melaungkan perkataan"Tolak Rasis”,"Undur VC” dan"Ini Tanah Malaysia”.

Ia dipercayai ditujukan kepada Abdul Rahim yang menurut graduan itu telah menggunakan nama UM untuk politik perkauman dan kepentingan parti semasa Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu (PKMM) UM pada 6 Oktober lepas.