Kes dera seksual dalam talian di Singapura meningkat

Iklan
Kanak-kanak perempuan banyak menjadi mangsa kes penderaan seksual dalam talian di Singapura. - Agensi

SINGAPURA - Jumlah kesalahan berkaitan penderaan seksual dan eksploitasi kanak-kanak dalam talian di Singapura mencatatkan paras tertinggi tahun lalu sejak pindaan undang-undang dilaksanakan lima tahun lalu bagi membanteras jenayah tersebut, lapor Channel News Asia (CNA).

Menurut data, sebanyak 27 pertuduhan difailkan pada 2024 berbanding 23 pada 2023. Pada 2020, hanya tiga pertuduhan direkodkan.

Iklan
Iklan

Bilangan individu yang dijatuhi hukuman juga meningkat seramai 24 orang tahun lalu, berbanding 16 pada 2023 dan hanya dua pada 2020.

Namun, pihak berkuasa menjelaskan bahawa setiap individu mungkin menghadapi lebih daripada satu pertuduhan atau hukuman.

Iklan

Kesalahan tersebut termasuk memiliki dan mengedar bahan penderaan kanak-kanak, serta rakaman bersifat voyeurisme atau mengintai yang melibatkan kanak-kanak.

Pindaan kepada Kanun Keseksaan Singapura yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2020 memperkenalkan kesalahan khusus berkaitan penghasilan, pengedaran, pengiklanan dan pemilikan bahan penderaan kanak-kanak, berbeza daripada undang-undang lama yang hanya merangkumi bahan lucah umum.

Iklan

Polis Singapura (SPF) berkata usaha penguatkuasaan kini dipertingkat dan lebih banyak kerjasama antarabangsa dijalinkan bagi membanteras jenayah ini.

"Isu penderaan seksual kanak-kanak dalam talian semakin memburuk di peringkat global sejajar dengan kemajuan teknologi. Ia menyukarkan agensi penguatkuasaan undang-undang,” kata jurucakap SPF.

Tambah SPF, kadar penembusan internet yang tinggi di Singapura menjadikan kanak-kanak terdedah kepada eksploitasi seksual dan komunikasi tidak diundang daripada orang asing dalam talian.

Kes-kes ini disiasat oleh Bahagian Jenayah Khas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah SPF, yang turut menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menapis bahan bukti dan mengenal pasti imej melibatkan kanak-kanak.

Menurut Ketua Bahagian itu, Superintenden Lim Hao Jun, pemilik bahan penderaan kanak-kanak turut bersubahat dalam penderaan kerana mencipta permintaan terhadap bahan itu.

Baru-baru ini, polis turut mengesan bahan lucah kanak-kanak yang dijana menggunakan AI berpandukan foto yang dimuat turun dari internet.

"Kanak-kanak kini mudah mengakses platform dalam talian, menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada jenayah seperti ‘sextortion’ dan komunikasi seksual yang tidak diundang daripada orang dewasa,” kata Lim. - Agensi