SHAH ALAM – Kerajaan Selangor terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi kunjungan hormat oleh Duta Besar UAE ke Malaysia, Dr Mubarak Saeed Al Dhaheri bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pertemuan tersebut turut disertai oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han, yang menyifatkan kunjungan ini sebagai satu platform penting dalam memperluas kerjasama strategik antara Selangor dan UAE.
"Pertemuan ini membuka ruang untuk meneroka potensi kerjasama dalam sektor utama seperti pelaburan, teknologi, tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur, serta industri semikonduktor. Ini selari dengan aspirasi Selangor sebagai hab pelaburan dan inovasi di rantau ini,” ujar Ng Sze Han menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Selain agenda ekonomi, kedua-dua pihak turut menekankan kepentingan memperkukuh hubungan antara rakyat dan institusi untuk mencetuskan manfaat jangka panjang dan kemajuan bersama.
Dalam pertemuan tersebut, Dr. Mubarak turut menyampaikan ucapan takziah kepada semua mangsa serta keluarga yang terkesan dengan insiden letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini. Beliau turut mendoakan agar semua mangsa diberi kekuatan dan pemulihan segera.
"Kerajaan negeri amat menghargai keprihatinan dan sokongan daripada pihak UAE. Kami komited untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa dan percaya bahawa hubungan erat ini mampu membuka lebih banyak peluang untuk kemajuan bersama,” tambah Ng Sze Han.
Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik keterlibatan berterusan UAE dalam pelbagai bidang dan melihat potensi besar dalam hubungan ini untuk diterjemahkan kepada hasil nyata yang memberi manfaat kepada rakyat.