‘Air Dicincang Takkan Putus’ – Komitmen Xi Jinping Semarak Persahabatan China-Malaysia

Iklan
Presiden China, Xi Jinping mengadakan majlis meraikan kedatangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang dalam lawatan negara ke China di Dewan Utara di Dewan Besar Rakyat sebelum perbincangan mereka di Beijing, ibu negara China pada 20 September 2024. (Xinhua/Yin Bogu)

BEIJING - Lebih tiga dekad lalu, Xi Jinping yang menyandang jawatan tertinggi di bandar Fuzhou di tenggara China, pernah melawat Malaysia dengan tujuan menarik pelaburan.

Sepanjang lawatan itu, beliau betul-betul kagum dengan dua tapak simbolik.

Iklan
Iklan

Salah satunya ialah Kuil Poh San Teng, tempat untuk memberikan penghormatan kepada Laksamana Cheng Ho (1371-1433) dari Dinasti Ming. Satu lagi ialah bandar Sibu, yang dikenali sebagai ‘Fuzhou Baharu’ selepas seorang penduduk asal Fuzhou bernama Wong Nai Siong berhijrah ke Malaysia bersama lebih 1,000 orang China pada satu abad lalu.

Kedua-dua tempat itu membuktikan persahabatan antara China dengan Malaysia sudah menjangkau lebih seribu tahun.

Iklan

Xi selaku ketua negara berulang kali berikrar untuk menyemarakkan dan menyuburkan ikatan muhibah itu.

Ketika melawat Malaysia pada 2013, beliau mengulangi komitmennya dengan memetik peribahasa Melayu ‘air dicincang takkan putus’.

Iklan

Xi, yang dalam rangka lawatan ke Asia Tenggara pada ketika itu membangkitkan semula legasi Cheng Ho dan mengetengahkan gagasan Laluan Sutera Maritim Abad ke-21, komponen penting Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Bertepatan dengan lawatan rasmi beliau ke Malaysia kali ini, kedua-dua negara bersedia mengeratkan lagi persahabatan dan kerjasama serta mengemudi hubungan dua hala ke arah masa depan yang lebih cerah dalam era baharu.

Gambar ini menunjukkan tapak pelancaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kuantan, Malaysia pada 11 Disember 2023. (Xinhua/Xu Xinyu)

KERJASAMA DI LANDASAN PANTAS

Di lereng bukit yang menghadap projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri Pahang, kelihatan papan tanda dwibahasa yang berbunyi ‘berunding bersama, membangun bersama, berkongsi bersama -- membina masa depan yang lebih baik’.

Frasa ringkas itu merupakan prinsip utama BRI, yang kini telah menjadi rangka kerja utama infrastruktur dan pembangunan global sekali gus menjalin lebih banyak perkongsian rentas benua yang berkembang pesat.

Sebagai titik penting di sepanjang Laluan Sutera Maritim purba, Malaysia merupakan antara yang paling awal mengambil bahagian dalam kerjasama berorientasikan BRI.

Berkat usaha bersama serta galakan diberikan Xi, kerjasama dua hala dalam kerangka BRI membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Ambil ECRL sebagai contoh. Kerja pembinaan projek rangkaian rel sepanjang 665 kilometer itu berjalan lancar. Xi amat mengambil berat terhadap projek ikonik itu dan pernah menghantar utusan khas untuk menghadiri majlis pelancaran projek berkenaan pada 2017.

Semasa pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Beijing pada September 2024, Xi sekali lagi menggesa supaya usaha bersepadu diperkukuh ke arah menyempurnakan projek penting itu.

Apabila siap, jaringan rel ECRL akan merapatkan jurang ekonomi di antara Pantai Timur dan Pantai Barat, meningkatkan ketersambungan serta mewujudkan pertumbuhan yang seimbang.

Ia juga berpotensi untuk disambungkan dengan rangkaian laluan keretapi China-Laos dan China-Thailand, sebagai sebahagian daripada Koridor Baharu Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa.

"Jika menjadi kenyataan, ECRL akan memanfaatkan keseluruhan rangkaian kereta api Thailand dan bersambung dengan Kunming di barat daya China merentasi Laos, sehingga meningkatkan kerancakan pengangkutan kargo dan pergerakan penumpang di rantau ini," kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Selain projek kereta api, kolaborasi dua negara dalam bidang-bidang lain juga terus diperluas. China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dengan jumlah dagangan mencatat paras tertinggi sebanyak AS$212.04 bilion (RM937.75 bilion) pada 2024.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, buah-buahan tropika Malaysia seperti durian, manggis dan nangka semakin mendapat tempat di hati pengguna China.

Ketika bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Beijing pada 2024, Xi berharap Malaysia dapat memperkenalkan lebih banyak produk berkualiti ke pasaran China, selain meneruskan kerjasama lebih erat dalam bidang baharu seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan dan tenaga baharu.

"Kekukuhan hubungan ekonomi antara Malaysia dengan China memperlihatkan daya tahan dan manfaat bersama hubungan bilateral.

"Pelaburan dalam sektor bernilai tinggi seperti teknologi, tenaga hijau dan pembuatan semakin meningkat, yang turut memperdalam lagi kerjasama kita,” kata ahli ekonomi dari Universiti Teknologi PETRONAS, Samirul Ariff Othman.

SAHABAT SEJATI

Pada 2012, anak muda Malaysia bernama Yong June Kong menderma sel stem hematopoietiknya untuk membantu seorang budak lelaki China berusia tujuh tahun yang menghidap leukemia.

Yong yang pernah mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di China merupakan penderma sel stem asing pertama di China.

Ketika melawat Malaysia pada 2013, Xi menyebut tentang perbuatan baik yang menyentuh hati itu dan menyifatkan ikatan persahabatan utuh terjalin dalam kalangan rakyat kedua-dua negara.

"Cerita ini yang takkan pernah kami lupakan,” kata Xi dengan penuh emosi.

Menurut Yong, dia tidak pernah membayangkan bahawa perilakunya akan mendapat penghargaan yang begitu tinggi.

"Saya tidak boleh masuk tidur sepanjang malam selepas mengetahui Presiden China bercakap tentang saya," kata Yong, kini bergelar doktor di Hospital Renji di Shanghai.

Pada pandangan Yong, pujian yang diberikan Xi bukan sekadar bagi dirinya sendiri, tetapi juga merupakan penghargaan ke atas semangat saling menyokong antara dua negara.

"Galakan itu mengukuhkan hasrat saya kekal tinggal di China, meneruskan kerjaya dalam bidang perubatan untuk menyelamatkan nyawa, mengambil bahagian dalam derma darah dan aktiviti amal lain serta menjadi jambatan persahabatan Malaysia-China," ujarnya.

Xi pernah memetik peribahasa Melayu sebagai berkata, kawan yang ketawa ramai, kawan menangis cuma seorang.

Di mata beliau, kedua-dua negara merupakan kawan karib yang saling mempercayai dan bergantung antara satu sama lain.

Di bawah visi strategik, China dan Malaysia menjalin hubungan diplomatik pada 1974.

Malaysia adalah negara Asia Tenggara pertama yang menjalin hubungan seumpama dengan China.

Kemudian, Malaysia juga merupakan yang pertama menjemput China untuk mengadakan dialog dengan ASEAN, selain menjadi tuan rumah pertama sidang kemuncak China-ASEAN.

Semasa lawatan ke Malaysia pada 2013, Xi mengenang kembali perjuangan bersama dua negara dalam mengatasi krisis kewangan Asia 1997 dan kemelesetan ekonomi global 2008, serta bantuan disumbangkan Malaysia kepada China yang terkesan akibat gempa bumi berukuran 8.0 magnitud melanda Wenchuan pada 2008.

Lawatan berkenaan turut menyaksikan hubungan dua hala dinaik taraf kepada perkongsian strategik komprehensif.

Sedekad kemudian, Xi dan Anwar mencapai kata sepakat di Beijing untuk bergabung tenaga membina komuniti berkongsi nasib China-Malaysia, sekali gus menyingkap lembaran baharu dalam hubungan bilateral.

Di peringkat yang lebih luas, Xi amat menghargai peranan penting dimainkan Malaysia dalam kerjasama serantau sebagai ahli pengasas ASEAN dan pemacu utama kolaborasi Asia Timur.

Beliau mengulangi sokongan China terhadap Malaysia selaku pengerusi ASEAN 2025 serta komitmennya terhadap pemusatan ASEAN dan kemandirian strategik blok itu.

"Hubungan Malaysia-China terus berkembang kukuh dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

"Sekarang perkongsian ini lebih dinamik berbanding sebelumnya, didorong oleh kerjasama ekonomi yang mendalam serta pertukaran rakyat-ke-rakyat yang kukuh," kata Othman kepada Xinhua.

Seorang kakitangan mempertontonkan durian dari Malaysia di kawasan pameran Produk Makanan dan Pertanian sempena Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi kedua di Shanghai, timur China pada 9 November 2019. (Xinhua/Cai Yang)

KOMUNIKASI ANTARA BUDAYA

Sempena sambutan jubli emas hubungan diplomatik China-Malaysia pada 2024, Tan Lak Hon bersama 86 pelajar Malaysia lain yang menuntut di Universiti Tianjin menulis surat kepada Xi.

Mereka menyatakan komitmen untuk menjadi utusan dan penggalak persahabatan kedua-dua negara, serta aspirasi untuk menyumbang kepada pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama negara.

Dalam perutusan yang disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Xi turut menyatakan kegembiraannya menerima surat daripada pelajar berkenaan.

"Saya berasa bersyukur kerana persahabatan antara kedua-dua negara akan terus disemarakkan," kata Xi.

Susulan itu, Tan merancang membuka akaun media sosial bagi berkongsi pengalaman belajar dan mengembara di China dengan rakan-rakan di Malaysia.

"Saya akan bergiat aktif menyumbang kepada pengukuhan persahabatan kita, dan membantu menggalakkan komunikasi dalam kalangan pelajar,” kata Tan.

Xi sendiri memang sentiasa menjadi penyokong kuat pertukaran sosiobudaya sesama negara. Beliau berulang kali menekankan bahawa persahabatan antara rakyat merupakan kunci kepada hubungan kukuh antara negara.

Sepanjang berada di Malaysia pada 2013, Xi menyaksikan pemeteraian perjanjian penubuhan kampus Universiti Xiamen Malaysia (XMUM), kampus luar negeri pertama institut pengajian tinggi China.

Xiamen, seperti Fuzhou, ialah sebuah bandar utama di provinsi Fujian, tenggara China.

Universiti Xiamen mempunyai hubungan istimewa dengan Malaysia dan Presiden Xi. Ia diasaskan oleh seorang ahli perniagaan dan dermawan Cina yang patriotik, Tan Kah Kee pada 1921.

Dilahirkan di Xiamen, Tan Kah Kee mencapai kejayaan yang lebih besar dalam bidang perniagaan di Malaysia dan Singapura.

Apabila Xi ditempatkan bertugas di Xiamen, beliau membina ikatan yang mendalam dengan universiti itu.

XMUM kini mempunyai 10 fakulti dengan mengambil seramai 9,100 orang pelajar dari puluhan negara dan wilayah. Setakat ini, lebih daripada 6,300 pelajar sudah menamatkan pengajian di XMUM.

Kampus berkenaan merupakan model kerjasama pendidikan China-Malaysia dan platform utama untuk meningkatkan persefahaman antara tamadun yang berbeza.

Presiden China Xi Jinping bertemu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Besar Rakyat di Beijing, ibu negara China pada 31 Mac 2023. (Xinhua/Rao Aimin)


Ramai daripada graduan itu berkongsi keazaman Tan untuk menyumbang kepada komunikasi antara budaya dan persahabatan sesama rakyat. Itulah aspek yang amat dititikberatkan oleh Xi dalam hubungan antarabangsa.

"Sebut sahaja. Siapa lagi pemimpin yang bukan sahaja menggariskan visi untuk masa hadapan malah turut mendalami tamadun, nilai dan budaya?

"Itulah sebabnya saya berasa selesa ketika bertukar fikiran dengan Presiden yang mempunyai pandangan jauh dan wawasan," kata Anwar.

Oleh Zhao Bochao, penulis Xinhua