TEMERLOH - Pemandu kenderaan pacuan empat roda maut selepas tercampak keluar setelah terbabas melanggar batu penghadang jalan di Kilometer 116.5 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di sini pada Ahad.
Dalam nahas kira-kira jam 7.15 petang itu, mangsa berusia 41 tahun beralamat dari Kampung Lada, Jerantut Feri, Jerantut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, isteri mangsa berusia 40 tahun serta dua anaknya berusia tiga dan 10 tahun yang turut berada dalam kenderaan jenis Toyota Hilux itu dilaporkan cedera.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan dinaiki empat sekeluarga itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Bentong menghala ke Jerantut.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan sebelum berpusing dan melanggar batu penghadang jalan.
"Akibat kemalangan tersebut, mangsa tercampak keluar dari kenderaan melalui pintu sebelah pemandu," katanya.
Mazlan berkata, mangsa yang cedera dihantar menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS).
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"katanya.