Kerajaan terbuka tambah baik sistem perundangan - Fahmi

Iklan
Fahmi meninjau pengoperasian Nadi Air Kuning sempena Hari Bersama Komuniti di Tapah pada Ahad.

TAPAH - Kerajaan terbuka menerima pelbagai pandangan bagi menambah baik kerangka undang-undang sedia ada termasuk dalam proses pemilihan Ketua Hakim Negara.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pada ketika ini, kerajaan telah mengambil maklum mengenai kes difailkan di mahkamah bagi mencabar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009.

Iklan
Iklan

"Kabinet akan meneliti perkara ini dan kerajaan juga akan meneliti, memerhati serta memperincikan cara terbaik untuk menambah baik undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam Hari Bersama Komuniti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Air Kuning di sini pada Ahad.

Iklan

Menteri Komunikasi itu berkata, sejak Kerajaan Madani mentadbir, hampir 80 undang-undang telah diperkenalkan sama ada sebagai pindaan atau akta baharu.

"Ini mencerminkan usaha kerajaan untuk menambah baik institusi dan demokrasi dalam negara," katanya.

Iklan

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta baru-baru ini dilapor mengesyorkan kuasa Perdana Menteri diasingkan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara.

Perkata itu katanya, bagi membantu mengikis persepsi wujud pengaruh politik ke atas badan kehakiman selain bakal mengukuhkan ketelusan dan keadilan proses pemilihan serta memastikan pelantikan hakim benar-benar berasaskan merit.

Kenyataan itu bagaimanapun mendapat kritikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menyifatkannya sebagai tidak profesional.