JENGKA - Rumah Terbuka Aidilfitri di Felda Jengka 24 di sini pada Sabtu mencipta kelainan buat julung kalinya dengan hidangan istimewa daging kuda buat hampir 2,000 pengunjung tahun ini.
Ketua peneroka, Razak Daud berkata, sebanyak 50 kilogram daging kuda dimasak dengan pelbagai menu antaranya gulai, rendang dan panggang.
"Alhamdulillah, seperti kebiasaannya, kita meraikan Aidilfitri dengan jamuan rumah terbuka. Sebelum ini, kita biasa sediakan daging lembu, kambing dan ayam tapi tahun ini, kita buat sedikit kelainan.
"Idea hidangan unik itu timbul kerana mahu mencuba sesuatu yang belum pernah dirasai penduduk.
"Selama ini, kita tak pernah makan daging kuda. Jadi, kita nak cuba sesuatu yang baru. Alhamdulillah, sambutannya amat menggalakkan dan ramai yang teruja mencubanya buat kali pertama,” katanya.
Sementara itu, Syed Abdullah Syed Qasim, 62, pula mengakui hidangan daging kuda itu memberikan pengalaman rasa yang unik.
"Dagingnya ada rasa lain daripada yang lain... tekstur kasar sikit tapi tetap lembut bila dimasak dengan gulai memang kena betul dengan selera orang kita,” katanya.
Turut berlangsung, sumbangan kepada 20 asnaf serta meraikan bakal haji, 13 anak yatim, dua pesara termasuk seorang guru dan pengurus FGV Felda Jengka 24.
Majlis juga dimeriahkan dengan lebih 200 kanak-kanak menerima duit raya selain pertandingan hiasan dan penyediaan makanan membabitkan sembilan gerai.