Jambatan pemahaman di YouTube

Iklan
Video dimuat naik Elsa Widianti Putri, Blusukan Kuliner dan Ratih Atmodjo yang membawakan cerita yang menarik tentang budaya berpuasa di Malaysia.

Elsa Widianti Putri mungkin tak berapa dikenali oleh warganet Malaysia. Beliau seorang podcaster dan pembikin atau pencipta kandungan (content creator) yang berasal dari Pekan Baru, Indonesia. Sebahagian besar podcastnya adalah tentang Malaysia. Nampaknya beliau relatif popular dengan pengikut melebihi 245,000 orang.

Bulan lalu beliau berada di Kuala Lumpur untuk merasakan sendiri suasana Ramadan di Malaysia. Selama lima hari beliau sempat pergi ke tiga buah bazar Ramadan, melihat petugas membuat bubur lambuk di Masjid Kampung Baru, juga ikut berbuka puasa, moreh dan bersahur dengan teman-temannya di sekitar KL.

Iklan
Iklan

Selain menceritakan pengalamannya selama lima hari itu melalui beberapa siri video di YouTube, beliau juga membuat siaran khas yang diberi nama ‘Malaysia Memang Mengubah Banyak Hal Di Kehidupan Saya’.

Video itu merupakan kesan dan tanggapan beliau tentang suasana Ramadan di Malaysia yang baginya unik dan luar biasa. Terlalu banyak perkara positif ditonjolkannya tentang bagaimana rakyat kita melalui bulan istimewa itu.

Iklan

Beliau kagum dengan budaya bazar Ramadan yang bukan sahaja bersih, teratur dan terancang tetapi dengan kepelbagaian makanannya. Elsa juga teruja dengan kehadiran orang-orang bukan Islam termasuk pelancong luar yang turut dilayani sewaktu berbuka puasa. Beliau juga dimaklumkan secara purata Masjid Kampung Baru sahaja menyediakan 1,000 hingga 1,200 pek makanan untuk berbuka puasa setiap hari.

Video dimuat naik Elsa Widianti Putri, Blusukan Kuliner dan Ratih Atmodjo yang membawakan cerita yang menarik tentang budaya berpuasa di Malaysia.

Tradisi moreh di Malaysia baginya satu kejutan budaya yang menarik. Malah demikian banyak orang di kedai-kedai makan selepas tarawih hingga beliau bertanya bila agaknya orang Malaysia tidur, oleh sebab mereka berada di tempat makan hampir sepanjang masa.

Iklan

Elsa bukan sedirian menyatakan pandangan positifnya terhadap amalan berpuasa di Malaysia. Pada waktu yang sama berkunjung pasangan suami isteri yang menamakan podcast mereka, Blusukan Kuliner selain pencipta kandungan bernama Ratih Atmodjo yang turut berada di Kuala Lumpur. Masing-masing membawakan cerita menarik tentang budaya berpuasa di sini.

Mereka adalah sebahagian daripada sejumlah ‘promoter’ bagi Malaysia yang menggunakan platform media sosial. Mereka membawakan pelbagai cerita tentang Malaysia, malah membandingkannya dengan apa yang berlaku dan mereka alami di Indonesia. Ada kalanya mereka amat kritikal tentang negara mereka sendiri. Malah ada yang menuduh mereka tidak patriotik oleh kerana bersikap terlalu pro-Malaysia.

Mereka malah harus menjelaskan bahawa sebarang perbandingan dengan Indonesia tujuannya sekadar untuk memperbaiki keadaan dan belajar dari apa yang positif dari sini. Sering juga mereka mengungkap video dari pihak lain bagi menunjukkan sikap positif pelawat terhadap Malaysia.

Pada pandangan saya posting mereka merupakan jambatan pemahaman yang cukup baik.

DUNIA MAYA

Memang banyak juga netizen Indonesia yang mengambil sikap ‘memusuhi’ Malaysia dan mencari alasan paling kecil untuk mengecam, menghina dan merendah-rendahkan. Demikian juga terdapat podcaster Malaysia yang akan melenting dengan pandangan negatif dari sana.

Pendeknya masing-masing mencari ruang berkonfrontasi di dunia maya. Namun demikian jangan lupa, terdapat banyak juga suara kewarasan dan penuh pengertian dalam kalangan mereka.

Saya memgikuti banyak sekali podcaster dan pembuat kandungan Indonesia yang amat terbuka dan berimbang ini. Saya tertarik dengan podcast ‘All About Sastra’ yang terdiri dari tiga orang, saya percaya mereka semuanya pendidik. Saya juga mengikuti Bang Ray yang suaranya selalu rasional dan terbuka. Indra SFN menjadikan podcastnya wahana terbaik bagi merapatkan hubungan sesama rakyat kedua-dua negara.

Saya juga mengikuti Tamaji Serumpun, IKY Wew, Cak Mojib, Toha Mersing, Adam PRP, Wak Lonjong dan banyak lagi. Saya percaya kebanyakan mereka beroperasi dari Indonesia. Bagaimanapun terdapat seorang podcaster yang menggunakan nama Miss Sari.

Beliau berasal dari Medan tetapi berkahwin dengan orang Malaysia. Beliau sangat popular di sini. Seperti podcaster lain dari Indonesia, beliau banyak juga membuat perbandingan di antara tradisi, amalan, mentaliti, budaya, ragam hidup dan adat rakyat kedua-dua negara. Kelebihan Miss Sari adalah kerana beliau kini berada di Malaysia dan tentunya mempunyai pemahaman yang jauh lebih mendalam tentang rakyat dan negara ini.

Mendengar komen mereka tentang ‘istimewanya’ negara ini ada kalanya timbul rasa bersalah pada diri saya. Mereka mempunyai pandangan yang rata-rata amat positif tentang minda, mentaliti, sikap dan amalan rakyat kita. Mereka memuji-muji amalan pemandu di jalan raya Malaysia yang jauh lebih tertib.

Mereka kagum bagaimana kita mengamalkan tradisi beratur baik untuk naik LRT, MRT, bas dan sebagainya. Mereka berasa nyaman tidak diganggu oleh tukang parkir atau penjual jalanan. Mereka rata-rata memuji tahap kebersihan bandar-bandar kita.

Mungkin mereka tidak nampak amalan buruk sesetengah rakyat kita. Atau bagaimana kita berbuat perkara-perkara yang berlawanan dengan apa yang mereka lihat dan kagumi melalui video-video mereka.

*Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau mantan Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau banyak menulis tentang politik dan budaya Indonesia.