KPN tinjau lokasi strategik, kawasan acara rasmi lawatan Presiden China

Iklan
Tan Sri Razarudin Husain melakukan sendiri tinjauan dari udara hari ini menaiki helikopter PDRM jenis Agusta Westland AW139.

KUALA LUMPUR - Polis bersedia sepenuhnya dalam aspek keselamatan, termasuk tinjauan dari udara sempena lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping selama tiga hari ke negara ini, bermula Selasa ini.

Menurut hantaran di Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain melakukan sendiri tinjauan dari udara hari ini menaiki helikopter PDRM jenis Agusta Westland AW139.

Iklan
Iklan

Helikopter itu dipandu Komander Pasukan Gerakan Udara, Datuk Noor Sham Md Jani dan dibantu DSP Mohammad Firdaus Rosli.

"Ia bagi memastikan kesiapsiagaan keselamatan tertinggi pasukan melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam di sepanjang lawatan rasmi nanti, dengan penglibatan pelbagai unit,” menurut hantaran itu.

Iklan
Sebelum itu, Razarudin yang menaiki helikopter itu dari Putrajaya Helipad di Presint 6 turut mendengar taklimat oleh Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed di sebuah hotel.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Khalid Saion, Penolong Komander (Operasi) Unit Tindakhas Bukit Aman, Superintenden Mohammad Khairani Khalid dan para pegawai kanan.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri menganggap lawatan berkenaan sebagai signifikan dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan.

Iklan

Fahmi berkata, lawatan ini bukan hanya dinantikan, tetapi sebahagian daripada usaha Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang ingin melihat hubungan perdagangan lebih baik dengan pelbagai negara termasuk China. - Bernama