IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengambil masa hampir lima jam bagi memadam kebakaran deretan kelas di tingkat tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lahat, Bandar Baru Lahat di sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kebakaran melibatkan tiga bilik darjah, dua stor dan masing-masing sebuah bilik khas dan studio seni.
Menurut beliau, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa berikutan mesyuarat agung tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dilakukan di bangunan berlainan.
"Setibanya di lokasi, tingkat tiga sebuah blok bangunan mengalami kebakaran di bahagian bumbung dan melibatkan tujuh bilik yang musnah kira-kira 30 peratus.
"Operasi pemadaman menggunakan aliran air sehingga api padam sepenuhnya. Pasukan kemudian membuat pemantauan bagi memastikan tiada lagi punca-punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang," katanya di sini.
Sabarodzi berkata, seramai 23 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Putih, Batu Gajah dan Simpang Pulai telah ditugaskan dalam operasi itu.
Tambahnya, operasi turut dibantu 20 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Menglembu, Pasir Pinji, Pusing serta Pekan Baru dan operasi tamat pada jam 3.55 petang.