BUTTERWORTH - Hubungan antara rakyat pelbagai kaum di negara ini berada dalam keadaan yang sangat baik apabila dapat berkumpul dalam sebuah majlis seperti Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Pulau Pinang pada Sabtu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada peringkat rakyat sebenarnya berada dalam keadaan penuh kasih sayang dan hormati-menghormati.
Menurutnya Anwar, rakyat juga tidak merasakan ketegangan untuk hidup bersama walaupun berlainan agama dan kaum.
"Orang Islam, bersama dengan orang Cina, India, Orang Asli boleh hidup bersama-sama untuk merayakan Aidilfitri dalam keadaan yang sangat aman, dengan penuh rasa kasih sayang dan hormat-menghormati.
"Tahniah rakyat Malaysia semua. Ini membuktikan apa? Ini membuktikan bahawa di peringkat rakyat, keadaan itu baik. Sama seperti saya pergi ke Bukit Mertajam tadi, keadaannya sama.
Antara tetamu kenamaan yang turut hadir ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan barisan kepimpinan negeri.
Anwar turut meminta untuk melihat kepentingan dan kekuatan hubungan kaum di negara ini yang dibina sejak dahulu lagi.
"Kalau kita tengok hari ini, beberapa ribu orang Melayu, beberapa ribu orang Cina, beberapa ribu orang India, makan satu meja dan tidak ada rasa iri hati atau permusuhan.
"Saya minta rakyat, lihat kepentingan kita, kekuatan kita. Kerana tidak banyak negara yang mempunyai pelbagai kaum, yang boleh catat rekod seperti Malaysia.
"Pulau Pinang sebagai satu contoh. Mana ada negara, dengan masyarakat berbagai kaum yang boleh menjaga keharmonian. Sebab itu kita 'salute' orang Pulau Pinang, kita 'salute' rakyat Malaysia," katanya.
Beliau berkata lagi, hubungan rakyat yang baik dilihat membolehkan politik negara stabil sekali gus mencatatkan kepentingan ekonomi yang baik, bukan sahaja di Pulau Pinang malah seluruh negara.
"Kalau ditanya, untuk apa kita berpakat bersatu? Kerana politik ini stabil, rakyat pelbagai kaum bersama-sama, kita tumpu pembangunan. Maka kita catat kepentingan ekonomi yang baik di Pulau Pinang.
"Kita jadi pusat semikonduktor di Pulau Pinang, Johor, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Kulim (Kedah) dan Melaka.
"Sama juga seperti Sarawak dengan peralihan tenaga, hidrogen dan gasnya dan Sabah dengan strategi ekonomi biru mereka," katanya.