JOHOR BAHRU - Polis menahan tujuh remaja lelaki dipercayai samseng jalanan dan menunggang motosikal secara berbahaya dalam satu operasi besar-besaran di sekitar pusat bandar Johor Bahru dan Lebuhraya Pasir Gudang, pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kesemua suspek berusia antara 14 hingga 23 tahun itu ditahan dalam operasi yang bermula pada jam 10 malam dan berakhir pada jam 6 pagi, Sabtu.
Iklan
Iklan
"Dalam operasi ini, seramai 67 individu dan 59 buah motosikal telah diperiksa dan hasilnya sebanyak 18 motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Sebanyak 40 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, ubah suai struktur kenderaan dan kesalahan lain.
"Dalam masa sama, tujuh remaja turut ditahan kerana dipercayai melakukan aksi berbahaya di jalan awam hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta penjara wajib satu hari hingga lima tahun jika sabit kesalahan.
Polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam kegiatan samseng jalanan yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah orang lain.