KUALA SELANGOR – Seorang lelaki berusia 57 tahun mengalami kecederaan ringan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dipandunya terbabas dan melanggar dinding kaca Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Tanjong Karang malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin, pihak polis menerima laporan berhubung insiden itu sekitar jam 9 malam daripada orang awam.
Iklan
Iklan
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8.50 malam di kawasan parkir hadapan BSN. Pemandu dipercayai cuba memberhentikan kenderaan di petak parkir namun secara tidak sengaja menekan pedal minyak, menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan melanggar dinding kaca bank tersebut,” katanya.
Akibat kemalangan itu, pemandu mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan lutut. Mangsa telah dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan lanjut. Tiada kecederaan serius dilaporkan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan untuk menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.