JASIN - Pasukan bomba terpaksa dipanggil untuk memberikan bantuan bagi melepaskan jari seorang wanita bersama anaknya yang berumur enam tahun, yang tersepit pada rantai basikal di Taman Merlimau Permai di sini pada Sabtu.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Sufian Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada kira-kira jam 9.39 pagi.
Iklan
Iklan
"Jari telunjuk kedua-dua mereka berjaya dikeluarkan dalam tempoh kira-kira lima minit dan wanita berumur 32 tahun bersama anaknya itu kemudian dihantar ke klinik berhampiran untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa kejadian itu berlaku disebabkan keterujaan kanak-kanak tersebut melihat basikal baharu yang dibelikan ayahnya.
"Ibunya cuba untuk membantu anaknya melepaskan jari tersebut daripada rantai basikal, namun jarinya pula yang tersepit,” katanya. - Bernama