Lelaki Filipina terlibat rompak berkumpulan guna senjata berjaya diberkas

Iklan
Suspek kes rompak berkumpulan menggunakan senjata tajam berjaya diberkas menerusi Op Sentap di kawasan setinggan belakang Bandar Letat Jaya, Batu 3, Jalan Lintas Utara, Sandakan.

SANDAKAN - Selepas kira-kira lima bulan diburu, seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam rompakan berkumpulan menggunakan senjata tajam berjaya ditahan pada awal pagi Ahad.

Lelaki Filipina berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 pagi, menerusi Op Sentap yang dilakukan di kawasan setinggan belakang Bandar Letat Jaya, Batu 3, Jalan Lintas Utara di sini.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, tangkapan itu berjaya dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

"Siasatan awal mendapati suspek disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan menggunakan senjata tajam yang dilaporkan pada 1 Jun lalu, melibatkan kerugian dianggarkan sebanyak RM1,300," katanya dalam kenyataan.

Iklan

Katanya lagi, hasil soal siasat awal, suspek turut dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes jenayah lain di sekitar daerah ini.

"Suspek juga mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini," katanya.

George berkata, kejayaan tersebut  mencerminkan komitmen dan kesungguhan pihak polis dalam membanteras kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiatkan usaha membanteras jenayah demi menjamin keselamatan masyarakat," katanya.