KUANTAN – Seorang pelajar Tingkatan Dua dilaporkan hilang selepas keluar rumah di Kampung Pandan, di sini sejak Rabu lalu.
Remaja perempuan terbabit, Puteri Nur Allysha Mayzarah Mohd Azri, 14, dipercayai keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga dan sehingga kini gagal dikesan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu remaja berusia 42 tahun itu, pada hari sama.
Menurutnya, berdasarkan laporan, ibu remaja terbabit menyedari kehilangan anak bongsunya itu sekitar jam 4.30 petang ketika bangun daripada tidur.
"Susulan itu, ibu remaja itu cuba mencari dan menghubungi anaknya namun gagal sebelum membuat laporan polis pada jam 8.10 malam
"Kali terakhir remaja itu dilihat adalah kira-kira jam 12 tengah hari di bilik tidurnya sebelum ibunya masuk ke biliknya sendiri untuk berehat," katanya pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai remaja itu boleh ke balai polis berhampiran.