Api tidak boleh dipadam dengan api

Iklan
Tarif yang diumumkan pada 2 April lalu diperkenalkan oleh Trump telah mengejutkan dunia dan menunjukkan perubahan dasar globalisasi daripada pentadbiran AS sebelum ini.

TERSENTAK! Inilah perasaan dunia yang mengikuti perkembangan tarif timbal balas Presiden Donald Trump. Ianya bermula dengan pengumuman tarif timbal balas pada 2 April lalu, yang telah mencetuskan kekacauan dalam pasaran dan menghapuskan bertrilion nilai daripada bursa-bursa saham seluruh dunia.

Kemudian, tarif tersebut ditangguhkan pula untuk tempoh 90 hari, dengan penyelarasan semua pada kadar 10 peratus untuk semua negara (kecuali China), sekali lagi menggugat pasaran.

Iklan
Iklan

Apabila dua gergasi ekonomi berbalah, perdagangan dan pertumbuhan ekonomi global juga akan terjejas. Tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS)-China hanya akan merugikan dunia, termasuk Malaysia - sebuah negara perdagangan kecil dan terbuka.

Namun, ini bukan masa untuk panik. Malah, respons Kerajaan Madani dalam 10 hari yang lalu kekal tenang dan berhemah, mengutamakan rundingan, bukan ‘balas dendam’ sambil kita terus memantau rapi situasi ini.

Iklan

Firasat buruk ini yang berpunca daripada ketidaktentuan adalah sesuatu yang pernah saya alami.

Bagi saya, ia seperti mengharungi ribut ekonomi sekali lagi, seperti ketika saya menjadi menteri kewangan semasa zaman pandemik.

Iklan

Cuma kali ini 'virus panik global' disebabkan oleh 'patogen' bernama tarif AS, yang 'bermutasi' setiap beberapa hari, bertentangan dengan prinsip dan aturan dunia berasaskan undang-undang.

Bagaimana kita boleh bergerak ke hadapan? Izinkan saya memberi tiga cadangan. Pertama, ketidaktentuan ini nampaknya, satu-satunya kepastian buat masa ini.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan agensi-agensinya, bersama entiti lain seperti Bank Negara, masih mengkaji potensi impak tarif.

Walau bagaimanapun, Malaysia mesti bersikap realistik dan bersedia untuk menghadapi pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan kehilangan pekerjaan.

Kerajaan Madani sudah tentu akan bertindak secara proaktif untuk melindungi kepentingan negara kita, serta pekerja dan perniagaan.

Walaupun kita mungkin tidak bersetuju pengiraan kadar tarif, hakikatnya ialah rakyat AS semakin cenderung menentang perdagangan bebas.

Pusat Penyelidikan Pew pada Julai 2024 mendapati 59 peratus rakyat AS yang ditinjau merasakan bahawa AS lebih banyak rugi daripada untung daripada peningkatan perdagangan dengan negara lain.

Pentadbiran Joe Biden bukan sahaja mengekalkan tarif China penggal pertama Trump, tetapi juga mengenakan tarif ke atas panel solar dari Malaysia, Kemboja, Thailand dan Vietnam.

Hakikat yang sukar diterima ialah Trump hanya mencerminkan kehendak rakyat AS dan kita perlu menyesuaikan diri dengannya.

Kedua, walaupun berhadapan dengan semua ini, Malaysia telah memutuskan untuk terus berunding dengan AS.

Begitu juga ASEAN, seperti yang dipersetujui oleh Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN semasa Mesyuarat Khas yang saya pengerusikan pada 10 April lalu. Malaysia dan ASEAN bersedia untuk berunding dengan Kerajaan AS bagi mencari penyelesaian menang-menang.

Malah, Kerajaan Madani, semasa mula memerintah pada tahun 2022, telah mengenal pasti risiko geopolitik sebagai potensi cabaran kepada ekonomi kita.

Semua yang telah dan sedang kita lakukan, termasuk pelbagai rancangan pembaharuan ekonomi dan misi-misi perdagangan antarabangsa adalah untuk mempersiapkan kita menghadapi kejutan seperti ini.

Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) telah diaktifkan di bawah Perdana Menteri untuk memantau keadaan semasa.

MITI juga menubuhkan pasukan untuk mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan, terutamanya syarikat di dalam sektor yang terjejas, untuk menentukan strategi bagi menangani isu ini.

Perjanjian sedia ada dengan AS seperti Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) dan Perjanjian Perlindungan Teknologi (TPA) akan membantu menangani beberapa isu dalam hubungan perdagangan Malaysia-AS.

Satu lagi perkara yang boleh dan mesti kita lakukan ialah mempelbagai dan memperdalamkan pasaran kita.

Kita proaktif dalam mencari pasaran baharu di Timur Tengah dan Amerika Latin. Namun, saya telah berulang kali mengatakan bahawa terdapat keperluan untuk meningkatkan perdagangan intra- ASEAN. Kita sedang menangani perkara ini dengan menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) semasa tahun Kepengerusian kita.

Tingkatkan perdagangan dengan negara lain

Dari segi perdagangan dengan rakan kongsi utama, kita juga akan menyemak semula Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA). Kita juga mesti menggunakan sepenuhnya perjanjian sedia ada kita seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans- Pasifik (CPTPP). RCEP yang meliputi negara-negara ASEAN serta China, Jepun dan Korea adalah cara yang efektif untuk meningkatkan perdagangan dengan negara lain.

Malaysia dan banyak negara ASEAN juga merupakan ahli CPTPP. Memperluaskan asas keahlian CPTPP dan RCEP juga boleh meningkatkan peluang perdagangan. Selain itu, ASEAN juga harus meneruskan kerjasama dengan blok serantau lain, seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Dengan AS sebagai pelabur asing utama dan rakan dagang kedua terbesar ASEAN, ASEAN secara kolektif telah menahan diri daripada mengenakan tarif balas bukan sahaja kerana kita percaya ia merugikan diri sendiri tetapi kerana ASEAN masih percaya multilateralisme adalah pilihan terbaik untuk dunia.

Rantau ini seharusnya berasa lega dengan hakikat bahawa selepas pengumuman Hari Pembebasan, pemimpin- pemimpin ASEAN kita memilih untuk berbincang dengan satu sama lain, dan bukannya mengambil tindakan bersendirian.

Kenyataan Bersama AEM mencerminkan perpaduan ini dengan menegaskan bahawa

ASEAN akan terus bekerjasama dengan lebih erat, dengan perpaduan dan solidariti yang lebih besar dan kekal komited kepada perdagangan berasaskan peraturan ASEAN.

Tarif akan menguji perpaduan dan dasar berkecuali ASEAN, tetapi ia juga dapat mengukuhkan keunikan integrasi serantau kita, meningkatkan realisme yang sebelum ini dikatakan tidak begitu ketara.

Saya percaya cara ASEAN adalah cara terbaik untuk menangani isu tarif. Isu tarif AS tidak sedikit pun menjejaskan semangat bersatu ASEAN.

Dinamik perdagangan global akan berubah, memerlukan negara-negara kecil untuk menjadi lebih tangkas dan anjal. Akan ada isu yang berbeza untuk dihadapi, seperti lebihan kapasiti negara-negara tertentu.

Tetapi Malaysia menghadapi semua ini dari kedudukan kekuatan dan kesediaan, dan bersedia untuk memimpin ASEAN dalam rundingan.Akhir sekali, Malaysia mesti meneruskan agenda pembaharuan ekonominya.

Tarif Trump telah mengubah norma global, kepastian dan juga model pertumbuhan yang negara-negara seperti Malaysia yang dijangka akan mampu membawa kita ke masa depan. Tetapi kehidupan mesti diteruskan.

Dan kita mesti terus membina daya tahan dengan berpegang kepada pelan induk pembaharuan ekonomi kita seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Langkah-langkah ini akan membina daya saing kita untuk menangani beberapa peraturan dalaman kita yang telah dilabelkan sebagai halangan bukan tarif oleh rakan dagang antarabangsa kita.

Rakyat Malaysia mungkin perlu menilai semula perkara-perkara yang selama ini kita ambil mudah dalam ekonomi kita untuk bergerak ke hadapan.

Bulan-bulan dan tahun-tahun yang sukar di hadapan memerlukan usaha yang lebih berat berbanding usaha yang telah kita curahkan selama ini.

Perpaduan adalah terasnya. Kerajaan Madani memerlukan orang ramai, perniagaan dan masyarakat sivil, untuk bersatu dan mengharungi ribut ekonomi ini bersama-sama. Keutamaan kita, adalah melindungi ekonomi Malaysia, demi kepentingan dan kemakmuran rakyat Malaysia.

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri