BUKIT KATIL - Kemeriahan pagi Syawal bertukar kecoh buat seisi keluarga apabila seekor lotong tiba-tiba menceroboh masuk ke dalam rumah untuk ‘mencuri’ sebuah cermin.
Kejadian berlaku di kediaman keluarga Auni Athirah Ahmad Khir Saifuddin, 25, di Bukit Katil, Melaka pada pagi 1 Syawal lalu.
Menurut Auni Athirah, ketika kejadian, pintu gelangsar rumah terbuka sedikit kerana abang iparnya mahu ke kereta untuk mengambil barang.
"Bila dia masuk rumah, tiba-tiba nampak ada lotong muncul dan terus menuju ke arah sebuah cermin almari.
"Ketika itu pula saya dan kakak di dapur, kami ada dengar bunyi bising-bising dekat depan...ingatkan pencuri yang masuk, rupanya lotong!
"Untuk pengetahuan, sebenarnya cermin tu melekat dengan almari, tak sangka lotong itu kuat cabutkan cermin itu dan memang cermin besar lebih kurang lotong, sebab itu senang bawa lari,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Jelasnya, lotong tersebut tidak mengganggu makanan atau barangan lain, sebaliknya terus ‘terpikat’ dengan cermin yang melekat dengan almari tersebut.
Auni Athirah yang juga pelajar tahun akhir di Universiti Utara Malaysia (UUM) berpendapat, lotong tersebut mungkin seekor betina kerana berminat dengan cermin berkenaan.
"Bayangkan, masuk rumah terus nampak cermin itu. Bila ditariknya cermin, memang ada barang pecah, seperti lampu tidur.
"Dan saya ada juga baca komen TikTok, ramai yang cakap rupanya lutong memang minatkan cermin...saya tak pasti tapi itu yang ramai komen mengenainya, mungkin itu salah satu faktor lutong nak ambil cermin itu.
"Tetapi, yang lawaknya, bila lutong itu nak lari, tetapi tersekat...cermin tersangkut di pintu, terus abang saya sergah, ambil semula cermin dan cepat-cepat tutup pintu...lotong itu hanya mampu tengok dari luar sahaja,” ujar Auni Athirah berseloroh.
Tambah dia lagi, ibu bapanya sering memberi makanan kepada kera di belakang rumah menyebabkan haiwan liar sering mendekati kawasan itu.
Bagaimanapun, katanya, ini kali pertama haiwan liar itu menceroboh masuk ke dalam rumah.
Ujar dia, kedua ibu bapanya yang tiada di rumah ketika kejadian, turut terkejut selepas dimaklumkan melalui rakaman video dalam kumpulan WhatsApp keluarga.
"Mereka agak marah sebab pintu tak ditutup rapat, tapi lepas itu kami sama-sama rasa lucu dan jadikan ia sebagai kenangan raya.
"Sekarang, cermin itu diletakkan di luar rumah dan tak guna lagi, kami tutup sahaja dengan kain.
"Sebenarnya, insiden itu juga membuka mata kami mengenai perbezaan lotong dan kera, kami ingatkan kera sebab nampak macam sama.
"Secara tak langsung, pengalaman itu juga eratkan hubungan kami sebab selalu jadi bahan perbualan bersama, ia jadi memori raya pertama kami sekeluarga dan buat kami lebih rapat,” katanya.