'Tidak periksa cap jari di pistol tiruan kes Yusoff Rawther' - Polis

Iklan
Bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther, hadir di mahkamah bagi menyambung perbicaraan kes pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dan memiliki pistol tiruan. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat kes senjata api mengesahkan di Mahkamah Tinggi di sini, pada Jumaat, bahawa tiada pemeriksaan cap jari dilakukan terhadap dua pistol tiruan yang ditemui dalam kereta milik Muhammed Yusoff Rawther pada September tahun lalu.

Inspektor Aiman Mohd Suhaimi yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields berkata demikian ketika memberi keterangan terhadap bekas pembantu penyelidik kepada seorang ahli politik, yang berusia 32 tahun.

Iklan
Iklan

Kes berkenaan melibatkan satu pertuduhan mengedar ganja dan satu lagi memiliki pistol tiruan, di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman, saksi pendakwaan ke-12 itu berkata, lazimnya bagi kes melibatkan penemuan senjata api, walaupun melibatkan tiruan barang kes perlu diperiksa menggunakan teknik 'finger dusting' oleh pegawai forensik.

Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kereta terbabit didaftarkan atas nama Muhammed Yusoff.

"Ditambah pula barang kes yang menyalahi undang-undang ditemui dalam kereta jenis Nissan Teana milik tertuduh, selain suspek yang ditahan adalah individu sama, maka proses pengesanan cap jari terbabit tidak perlu dilakukan,” katanya.

Iklan

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam tertuduh, Muhammad Rafique Rashid Ali, saksi ini mengesahkan bahawa pemeriksaan cap jari juga tidak dilakukan ke atas keempat-empat pintu kereta berwarna biru gelap itu.

Saksi turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa permukaan rata pada senjata tersebut akan memudahkan proses pemeriksaan jika dilakukan sejurus selepas serbuan.

Peguam: Saya cadangkan, jika pemeriksaan debu dijalankan pada dua pistol tiruan itu, besar kemungkinan tuan tidak akan menemui cap jari Muhammed Yusoff. Setuju?

Aiman: Tidak setuju.

Peguam: Tapi tuan tidak buat pemeriksaan cap jari itu, kan?

Aiman: Ya.

Dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan, saksi turut memaklumkan bahawa kereta import tersebut berada dalam keadaan berkunci semasa serbuan dilakukan dan pemeriksaan membawa kepada penemuan dua pistol tiruan dan dadah.

Menurutnya, kereta yang diparkir di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Bukit Kiara itu tidak boleh diakses oleh mana-mana individu lain.

Katanya, semasa serbuan pada jam 9.25 pagi, pihak polis cuba membuka pintu menggunakan alat kawalan jauh namun gagal, menunjukkan kereta dalam keadaan terkunci.

Susulan itu, beliau menolak kemungkinan wujud pihak ketiga yang memecah masuk ke dalam kenderaan untuk meletakkan dadah dan senjata.

"Tiada sebarang kerosakan atau kesan umpil dikesan pada semua pintu kenderaan," katanya.

Bagaimanapun, jawapan tersebut bercanggah apabila peguam membangkitkan isu lokasi kereta yang diparkir di tepi jalan, serta kemungkinan pintu boleh dibuka oleh pihak lain.

Muhammad Rafique juga menegaskan bahawa ketiadaan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tersebut membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk meletakkan dadah dan senjata di dalam kereta sebelum menghubungi polis.

"Tambahan pula, wujud teknologi canggih yang mampu mengubah frekuensi kenderaan untuk membuka pintu,” katanya.

Saksi bersetuju dengan semua cadangan itu dan turut mengesahkan bahawa tertuduh tidak pernah mempunyai rekod jenayah lampau serta keputusan ujian air kencingnya adalah negatif.

Muhammed Yusoff didakwa atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.

Dia juga didakwa atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 Sept 2024, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung 28 April ini.