'Rumah kosong, stor pun didaftar bantuan' - MB Selangor

Iklan
Amirudin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan pendidikan kepada salah seorang penerima di Dewan Masjid Putra Heights di sini pada Jumaat.

SUBANG JAYA - Kerajaan Selangor mengesan terdapat segelintir pihak cuba mengambil kesempatan dengan mendaftar rumah kosong, stor dan bengkel semata-mata untuk mendapatkan bantuan kewangan susulan insiden letupan gas dan kebakaran di Putra Heights di sini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hasil semakan mendapati hanya 396 unit kediaman disahkan layak menerima bantuan, selepas kerajaan negeri menyaring 613 pendaftaran yang diterima sejak kejadian itu berlaku.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tapisan dan semakan dibuat secara menyeluruh melalui semakan silang bersama beberapa agensi seperti hospital, bomba dan ketua kampung bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar terkesan diberi bantuan.

"Bukan kita tak nak bantu, tapi kita dapati ada pendaftaran dibuat atas rumah kosong, bengkel dan stor, malah ada yang tidak dihuni langsung.

Iklan

"Bila kita semak semula dan buat pembersihan data, hanya 396 unit yang betul-betul layak merangkumi pemilik dan penyewa,” katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Pendidikan di Dewan Masjid Putra Heights di sini pada Jumaat.

Mengulas mengenai rungutan segelintir penyewa yang mendakwa mereka tidak menerima bantuan kewangan, Amirudin memberitahu, perkara itu boleh dirujuk kepada Pejabat Tanah Petaling.

Iklan

"Kalau ada penyewa yang rasa mereka terlepas atau tak dimaklumkan boleh memberitahu dan kita sedia bantu mana-mana yang tertinggal asalkan benar-benar layak.

"Saya tidak mahu menutup terus permohonan, sebab mungkin ada kes yang terlepas pandang, tapi nak jelaskan, kita dah buat semakan menyeluruh.

"Bantuan disalurkan bukan sahaja dalam bentuk kewangan tetapi juga barangan keperluan harian dan sokongan lain yang diselaraskan menerusi agensi kerajaan negeri serta pihak berkaitan," tambah beliau.

Terdahulu, pemilik rumah yang musnah dalam kejadian insiden letupan gas di Putra Heights baru-baru ini akan menerima sumbangan segera berjumlah RM10,000 bermula Isnin.

Jumlah berkenaan disalurkan oleh kerajaan Persekutuan sebanyak RM5,000, manakala selebihnya jumlah sama sumbangan daripada Petronas yang diurus selia kerajaan negeri.

Selain itu, rumah yang telah dikenal pasti mengalami separa kerosakan serta terjejas, namun tidak terbakar termasuk penyewa turut menerima bantuan berjumlah RM5,000.