WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang menarik balik sekatan terhadap tekanan air pada pancuran di bilik mandi.
Rumah Putih menyifatkan langkah itu sebagai 'menjadikan pancuran mandi di Amerika hebat semula'.
"Ia bertujuan untuk membebaskan rakyat Amerika daripada 'perang pancuran' ketika pentadbiran bekas Presiden Barack Obama dan Joe Biden," jelasnya.
Sebelum ini, Trump berulang kali merungut tentang tekanan air yang perlahan di bilik mandi disebabkan peraturan pemuliharaan air persekutuan.
"Saya suka mandi dengan air yang mengalir laju untuk menjaga rambut saya yang cantik. Sebelum ini, saya terpaksa membuang masa selama 15 minit di bawah pancuran.
"Air yang keluar terlalu perlahan dan ia sememangnya tidak masuk akal," kata Trump di Pejabat Oval pada Rabu.
Perintah itu mengarahkan Jabatan Tenaga supaya melancarkan semula peraturan 'hijau radikal' yang mengehadkan aliran air pancuran kepada 9.46 liter untuk tempoh seminit.
Menurut laporan Projek Kesedaran Piawaian Perkakas pada 2024, standard aliran air pancuran yang ditetapkan dapat menjimatkan bil pengguna selain memelihara alam sekitar. - AFP