KKM bakal tempatkan Pakar Perubatan Kecemasan di 10 hospital utama

Iklan
Dr Dzulkefly (kanan) ketika sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Ramah Mesra Bersama Warga Kesihatan Daerah Batang Padang di Hospital Tapah pada Khamis.

TAPAH – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menempatkan Pakar Perubatan Kecemasan di 10 hospital tidak berpakar menjelang Ogos ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu sebagai usaha berterusan kementerian memastikan perkhidmatan kecemasan lebih cekap dan menyeluruh di hospital tidak berpakar di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan keberadaan pakar di fasiliti kesihatan termasuk hospital daerah.

"KKM memulakan usaha secara berperingkat bagi menempatkan sekurang-kurangnya seorang Pakar Perubatan Kecemasan di semua hospital dalam tempoh tiga tahun.

Iklan

"Insya-ALLAH, seramai 10 pakar akan ditugaskan di hospital tanpa pakar secara berperingkat menjelang Ogos 2025,” katanya selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Ramah Mesra Bersama Warga Kesihatan Daerah Batang Padang di Hospital Tapah di sini pada Khamis.

Dr Dzulkefly berkata, setakat ini, Pakar Perubatan Kecemasan sudah ditempatkan di hospital daerah dan hospital tanpa pakar di seluruh negara.

Iklan

"Antaranya termasuk Hospital Jitra, Hospital Kuala Nerang, Hospital Sungai Bakap, Hospital Sabak Bernam, Hospital Alor Gajah, Hospital Cameron Highlands, serta Hospital Pasir Mas dan Hospital Limbang.

"Di Perak, Hospital Kuala Kangsar akan menerima pakar ini manakala Hospital Tapah bakal menerima khidmat pakar pada 1 Mei ini," katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut mengumumkan pelaksanaan semula perkhidmatan kecemasan 24 jam di Klinik Kesihatan (KK) Tanjung Malim selepas menerima permintaan tinggi daripada penduduk setempat.

"Perkhidmatan ini pernah beroperasi 24 jam lebih 20 tahun lalu sebelum wujudnya Hospital Slim River. Buat masa ini, ia dijalankan menggunakan kakitangan sedia ada menerusi sistem panggilan luar waktu bekerja (aktif).

"Penambahan kakitangan akan dipertimbangkan dan kelulusan pembayaran elaun tugasan kepada Pembantu Pegawai Perubatan juga sudah diperoleh," katanya.

Terdahulu, Dzulkefly turut melakukan lawatan kerja ke Hospital Tapah dan KK Tanjung Malim bagi meninjau keperluan semasa fasiliti kesihatan di negeri berkenaan.