GEORGE TOWN - Polis telah merakam keterangan bekas isteri kepada anggota polis berpangkat koperal yang parah selepas tertembak diri sendiri dalam kejadian petang Selasa lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, keterangan bekas isteri mangsa diambil bagi melengkapkan siasatan berhubung kejadian berkenaan.
"Kita sudah merakamkan percakapan bekas isterinya. Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan tentang punca kejadian," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Tambah Hamzah, anggota tersebut kini telah dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) Neuro ke ICU Am Hospital Pulau Pinang.
"Anggota berkenaan masih di bawah pemerhatian doktor pakar. Setakat ini, dia belum menjalani sebarang pembedahan," jelasnya.
Ditanya mengenai punca anggota berkenaan bertindak demikian, Hamzah berkata, kes tersebut masih dalam siasatan.
"Kita akan siasat bagi mengetahui punca kejadian sama ada masalah hutang, keluarga atau ada kaitan dengan masalah-masalah lain," katanya.
Hamzah menambah, prosedur operasi standard (SOP) penggunaan senjata api tidak akan diperketatkan kerana SOP sedia ada sudah mencukupi.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang anggota polis parah di kepala dipercayai tertembak diri sendiri dengan menggunakan pistol dalam kejadian di Pos Pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Anggota berkenaan berusia 58 tahun dan bertugas di Cawangan Kem Komandan, IPK Pulau Pinang.
Dalam kejadian pada jam 6.12 petang itu, anggota tersebut dijumpai dalam keadaan cedera di bahagian kepala.
Siasatan di tempat kejadian mendapati satu das tembakan telah dilepaskan daripada senjata yang digunakan oleh anggota tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39, Akta Senjata 1960.