Bekas pembantu operasi kolej tak mengaku minta, terima rasuah

Iklan
Mohd Rizuan (kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka pada Khamis.

MELAKA - Bekas pembantu operasi di sebuah kolej didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15,000 sebagai upah perakuan siap kerja pembaikan di institusi pengajian tinggi berkenaan.

Tertuduh, Mohd Rizuan Muhamad,42, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, dia sebagai penjawat awam iaitu Pembantu Operasi N11 yang memangku tugas sebagai Pembantu Kemahiran H19 di Kolej Matrikulasi Melaka telah meminta suapan berjumlah RM10,000 daripada seorang lelaki berusia 43 tahun.

Ia sebagai dorongan memperakui perakuan siap kerja bagi pembaikan jenang dan tingkap di institusi pengajian tinggi itu bernilai RM484,580.

Iklan

Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan menerima suapan RM2,000 dan RM3,000 sebagai upah memperakui perakuan kerja siap berkenaan daripada individu sama.

Perbuatan itu dilakukan di sekitar kawasan Kampung Padang, Pokok Mangga di sini pada 14 dan 15 Ogos serta 28 September 2022.

Iklan

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa'ari memohon jaminan RM18,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Pihak pendakwaan turut memohon syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM Melaka.

Peguam Mohd Nazri Abd Hamid yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah kerana tertuduh kini bekerja di sebuah sekolah rendah dengan pendapatan sebanyak RM2,800 sebulan selain menyara isteri dan ibunya yang telah tua.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 30 Mei depan untuk sebutan semula kes.