SHAH ALAM – Proses pelantikan hakim perlu menjamin kebebasan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) daripada kuasa mutlak eksekutif serta melibatkan komposisi yang mencerminkan kepelbagaian dan keseimbangan latar belakang kepakaran.
#RasuahBusters dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, cadangan itu selaras kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mencadangkan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim dikaji semula bagi mengelakkan pengaruh politik terhadap badan kehakiman.
"Melangkah ke arah reformasi institusi dan perundangan negara secara menyeluruh, kenyataan Ketua Hakim Negara adalah tepat pada masanya.
"Kami menyambut baik cadangan tersebut dan mengulangi tuntutan #RasuahBusters sebelum ini agar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 dipinda," katanya.
Menurut kenyataan itu, cadangan berkenaan pernah dikemukakan Majlis Raja-Raja dan seiring aspirasi rakyat yang mahukan institusi kehakiman sebagai benteng pertahanan terakhir negara bebas daripada sebarang cengkaman eksekutif atau pengaruh politik.
Terdahulu, Ketua Hakim Negara menjelaskan bahawa menghapuskan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim boleh membantu mengikis persepsi mengenai wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman.
Jelas beliau, sejak kebelakangan ini, terdapat cadangan supaya SPK 2009 dan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mengeluarkan peranan Perdana Menteri daripada proses pelantikan hakim.
Susulan kenyataan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semakan menyeluruh sedang dijalankan selari dengan semangat reformasi institusi dan bertujuan memastikan proses pelantikan kehakiman benar-benar mencerminkan prinsip ketelusan serta kebebasan institusi kehakiman.
Menurut beliau, kerajaan akan melaksanakan semakan semula terhadap kerangka SPK 2009 susulan gesaan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim dihapuskan.
Dalam perkembangan sama, #RasuahBusters menegaskan keyakinan awam dapat ditingkatkan dan konflik kepentingan dapat dielakkan sekiranya tiada sentralisasi kuasa di tangan Perdana Menteri dalam menentukan pelantikan hakim selaku pelindung undang-undang.
"#RasuahBusters menyeru cadangan reformasi ini disambut dengan jiwa besar dan keberanian politik. Ia adalah lambang kematangan demokrasi Malaysia dan simbol keyakinan penuh kita terhadap institusi kehakiman negara.
"#RasuahBusters bersama rakan gabungan masyarakat sivil tetap komited dan bersedia memberikan input serta pandangan dalam usaha menyokong penambahbaikan tatakelola serta pelaksanaan Strategi Anti Rasuah Nasional (NACS).
"Kami akan terus menjadi suara rakyat demi legasi Malaysia yang lebih berwibawa, adil dan bermaruah," katanya.