BEIJING - Komuniti antarabangsa bakal menyaksikan perang perdagangan berskala penuh antara China dan Amerika Syarikat (AS) selepas pentadbiran Presiden Donald Trump mahu mengenakan kadar cukai lebih 100 peratus ke atas barangan import dari Beijing berkuat kuasa pada Rabu.
Tindakan itu kekal dilaksanakan jika 'seteru' mereka gagal menarik balik pelaksanaan tarif timbal balik sebanyak 34 peratus seperti diumumkan pada minggu lalu.
Ketika penggal pertama pentadbiran di Rumah Putih, Trump sudah pun mengenakan pelbagai tarif ke atas China dan diteruskan penggantinya, Joe Biden.
Halangan perdagangan itu telah menurunkan import dari China kepada 21 peratus total import Amerika pada 2016 kepada 13 peratus pada tahun lalu.
Kebergantungan AS terhadap perdagangan bilateral bersama Beijing dikatakan semakin berkurangan sejak sedekad lalu.
Beberapa barangan eksport China ke AS telah dialihkan melalui negara-negara di Asia Tenggara.
Sebagai contoh, pentadbiran Trump memperkenalkan tarif sebanyak 30 peratus terhadap panel solar import Beijing pada 2018.
Laporan Jabatan Perdagangan AS diterbitkan pada 2023 mendapati pengeluar industri itu telah mengalihkan operasi pemasangan mereka di negara ASEAN seperti Malaysia, Thailand, Kemboja dan Vietnam sebelum menghantar produk itu ke Washington bagi mengelakkan cukai.
Pelaksanaan tarif baharu itu dikhuatiri menaikkan harga pelbagai barangan yang berasal dari China.
Pada tahun lalu, kategori produk eksport terbesar dari Washington ke Beijing adalah kacang soya yang sebahagian besar daripadanya digunakan sebagai sumber makanan ternakan kira-kira 440 juta khinzir di negara tersebut.
AS juga mengeksport produk farmaseutikal dan petroleum ke China manakala barangan diimport dari Beijing terdiri daripada barangan elektronik, komputer dan alat mainan serta bateri kenderaan elektrik.
Kategori import terbesar dari China adalah telefon pintar sebahagian besarnya untuk syarikat multinasional, Apple yang menyumbang sebanyak sembilan peratus daripada jumlah keseluruhan.
Tarif AS ke atas Beijing antara salah satu punca penurunan nilai pasaran Apple sejak kebelakangan ini dengan harga sahamnya menjunam kepada 20 peratus pada bulan lalu.
Banyak pihak terkesan
Ketika ini, harga barangan import dari China menjadi lebih mahal buat pengguna Amerika kerana tarif sebanyak 20 peratus yang dikenakan pentadbiran Trump.
Harga tersebut dijangka meningkat sehingga lima kali ganda jika AS berkeras mengenakan levi tambahan sebanyak 104 peratus.
Tarif timbal balik diumumkan Beijing juga akan menyebabkan situasi serupa dihadapi barangan import dari AS.
Perang tarif itu dijangka menjadi lebih sengit apabila China menghalang eksport logam penting seperti tembaga dan litium ke Washington
AS pula mungkin bertindak balas dengan menyekat import mikrocip canggih yang penting untuk aplikasi seperti kecerdasan buatan (AI).
Pada minggu lalu, Penasihat Perdagangan Rumah Putih, Peter Navarro dengan angkuh menyatakan Washington mungkin akan memberi tekanan kepada negara lain termasuk Kemboja, Mexico dan Vietnam supaya tidak menjalinkan hubungan perdagangan dengan China jika ia mahu terus mengeksport barangan ke AS.
Perang perdagangan habis-habisan antara Washington dan Beijing berisiko memperlahankan pertumbuhan ekonomi dan mendorong kepada kemelesetan yang akan menjejaskan negara lain dalam bentuk pertumbuhan global lebih perlahan.
Selain itu, pelaburan global juga mungkin terkesan memandangkan China merupakan negara pembuatan terbesar di dunia dengan lebihan barangan berjumlah hampir AS$1 trilion (RM4.49 trilion) yang bermakna ia mengeksport lebih banyak barangan berbanding mengimport produk.
Impak limpahan daripada perang perdagangan berskala besar ini akan dirasai di seluruh dunia dan kebanyakan ahli ekonomi berpendapat kesannya 'agak besar'. - Agensi
Info
>Perdagangan antara kedua-dua negara ekonomi terbesar di dunia itu meningkat pada kadar AS$585 bilion (RM2.63 trilion) pada 2024.
>AS sebenarnya mengimport lebih banyak barangan dari China iaitu AS$440 bilion (RM1.97 trilion) berbanding eksport dari Washington ke Beijing yang direkodkan sebanyak AS$145 bilion (RM651 bilion).
>Jurang itu menyebabkan AS mengalami defisit perdagangan bersama China memandangkan perbezaan antara import dan eksport berjumlah AS$295 bilion (RM1.32 trilion) pada 2024 bersamaan kira-kira satu peratus daripada ekonomi AS. Angka itu jauh lebih rendah daripada AS$1 trilion (RM4.49 trilion) yang disebut Trump berulang kali, baru-baru ini.
>Menurut Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), AS dan China menyumbang bahagian besar dalam ekonomi global iaitu kira-kira 43 peratus.