MELAKA - Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba di ruangan menunggu Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh, di sini, pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, difahamkan mangsa ke pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Melaka untuk menguruskan pasport pekerjanya sebelum tiba-tiba rebah ketika menunggu di kerusi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada pasukan rondaan cegah jenayah yang memaklumkan seorang lelaki tidak sedarkan diri di kompleks berkenaan.
Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai ejen pembersihan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan dari Hospital Melaka.
"Petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) cuba memberi bantuan pernafasan (CPR), namun tiada tindak balas sebelum pihak ambulans mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
"Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Tambahnya isteri mangsa, Tan Chia Yin turut hadir untuk proses pengecaman mayat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan tiada unsur jenayah ditemui setakat ini.