Dadah dijumpai selepas buka kerusi belakang kereta Yusoff Rawther

Iklan
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Khamis membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan dihadapi bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther untuk dibicarakan bersama.

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, pihak polis menemui plastik mengandungi dadah, selepas membuka keseluruhan kerusi belakang, di bahagian penumpang kereta milik bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther.

Koperal Amirul Azwa Zahari yang bertugas di bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berkata demikian ketika perbicaraan kes dihadapi Muhammed Yusoff, 32, masing-masing satu pertuduhan mengedar ganja dan memiliki pistol tiruan, di hadapan Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Iklan
Iklan

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman, saksi berusia 38 tahun itu berkata, bahan itu dapat dilihat selepas rakan sepasukannya membuka kerusi itu ketika membuat pengeledahan bagi Ops Laras, pada 6 September tahun lalu.

"Rakan pasukan iaitu Koperal Nik membongkok dan cuba buka bahagian berkenaan.

Iklan

"Ia tidak memakan masa yang lama, kurang daripada lima minit, selepas itu saya nampak ketulan berwarna hitam, segi empat ada di bawah kerusi terbabit,” kata saksi pendakwaan keenam itu.

Sementara itu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh mencadangkan, pintu penumpang bahagian belakang, boleh diakses oleh sesiapa sahaja kerana ia mengalami kerosakan.

Iklan

Walaupun kereta jenis Nissan Teana milik anak guamnya dikunci menggunakan alat kawalan jauh, beliau mencadangkan, pintu penumpang belakang itu masih boleh dibuka.

Koperal Amirul: Setuju.

Peguam: Adakah serbuan itu dibuat dekat sebuah kondominium di Bukit Kiara 1?

Koperal Amirul: Ya.

Peguam: Saya cadangan saya, jika kita tidur di kondominium itu, orang lain boleh buka pintu belakang, masukkan barang tutup balik pintu, setujukah?

Koperal Amirul: Setuju.

Peguam: Baiklah, berbalik kepada serbuan, saya cadangkan, pasukan koperal menerima maklumat awal, lengkap dengan nombor plat kereta, jenis kenderaan, warnanya dan lokasi sebelum serbuan dibuat.

Koperal Amirul: Setuju.

Peguam: Maklumat itu termasuk apa yang bakal dijumpai di kereta itu, setuju?

Koperal Amirul: Setuju.

Bagaimanapun, ketika disoal pihak pendakwaan, saksi ini berkata, maklumat yang diterima oleh ketua serbuan adalah tepat kerana banyak Ops Laras pernah membuahkan hasil apabila banyak tangkapan suspek berjaya dilakukan.

Sementara itu, seorang polis risikan memberitahu mahkamah bahawa pintu bahagian pemandu kereta milik Muhammed Yusoff itu gagal dibuka ketika serbuan operasi dibuat.

Inspektor Wan Muhammad Wan Ali, 37, berkata, kereta berwarna biru gelap terbabit hanya boleh diakses menerusi pintu hadapan penumpang, selepas menggunakan kunci di bahagian pemandu, secara manual.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan, saksi itu yang juga ketua serbuan berkata, semasa operasi, tertuduh memberitahu alat kawalan jauh kereta mengalami kerosakan.

"Justeru, tertuduh menggunakan kunci Nissan Teana terbabit untuk membuka pintu pemandu namun gagal, malah hasil sama diperoleh selepas anggotanya cuba untuk membuka pintu terbabit.

"Tertuduh kemudiannya dibawa ke bahagian pintu hadapan penumpang dan akhirnya kereta berjaya dibuka dengan anak kunci kenderaan itu masih di tangan tertuduh,” katanya.

Sebelum itu, prosiding ini bermula dengan Hakim, Muhammad Jamil yang diiringi jurubahasa dan kakitangan mahkamah, meninjau kereta berkenaan yang diletakkan di aras bawah mahkamah, bersama barisan pendakwaan dan pembelaan.

Inspektor Wan Muhammad kemudiannya menunjukkan demonstrasi pintu kereta itu dibuka, dengan kehadiran tertuduh dalam keadaan bergari.

Selepas 30 minit, penerangan dan tinjauan kenderaan berakhir pada jam 11.30 pagi kemudian prosiding diteruskan dengan keterangan oleh saksi pendakwaan pertama tersebut.

Muhammed Yusoff didakwa atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.

Dia juga didakwa atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September 2024, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung Khamis.