Lelaki ugut penguat kuasa DBKL bebas dengan jaminan polis

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung penahanan lelaki terbabit pada Selasa lepas.

KUALA LUMPUR - Lelaki yang ditahan kerana disyaki membuat ugutan jenayah dan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan ke atas penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi media sosial, dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Ridzuan Khalid berkata, lelaki berusia 57 tahun itu dibebaskan selepas permohonan untuk melanjutkan perintah reman ditolak.

Iklan
Iklan

"Sambung reman ditolak dan suspek diberi jaminan polis hari ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, lelaki itu direman dua hari bermula Selasa.

Iklan

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 505(b) kanun kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan ketakutan atau kegentaran awam.

Lelaki itu turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Iklan

Pada Selasa, lelaki tersebut ditahan kira-kira jam 12.10 tengah malam, susulan laporan yang dibuat oleh pegawai penguat kuasa DBKL pada jam 1.07 tengah hari, Isnin.

Menurut Rusdi, siasatan awal mendapati satu tangkap layar perbualan dalam sebuah kumpulan WhatsApp telah tersebar di Facebook dan mengandungi unsur ancaman serta hasutan terhadap anggota penguat kuasa DBKL yang menjalankan tugas sebagai penjawat awam.