SEPANG - Cubaan memotong 'signal link' berhampiran laluan Express Rail Link (ERL) menghala ke Stesen KL Sentral menyebabkan gangguan kepada sistem isyarat tren pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G K Shan Gopal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada petugas Pusat Kawalan Udara ERL Salak Tinggi kira-kira jam 9.33 pagi.
"Laporan dibuat susulan gangguan signal dikesan di Kilometer 48.5 (menghala ke Kuala Lumpur Sentral).
"Hasil semakan di lokasi mendapati terdapat kabel signal link yang telah dipotong. Bagaimanapun tiada kehilangan kabel dilaporkan,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pengadu dalam kes berkenaan merupakan petugas keselamatan ERL yang menyedari kerosakan tersebut.
"Kerosakan akibat potongan kabel itu dianggarkan bernilai lebih kurang RM12,000. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 431A/447 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambahnya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek yang terlibat.
Beliau menasihati orang awam agar tidak menyebarkan sebarang berita tidak benar berhubung kejadian itu dan mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Hishamudin Amin di talian 011-11739477.