Penunggang motosikal maut kemalangan dengan kereta dipandu pensyarah

Iklan
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan kereta di Jalan Kuantan-Kemaman di sini pada Selasa. Foto FB Polis.Trafik Kuantan

KUANTAN - Seorang penunggang maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kuantan-Kemaman di sini pada Selasa.

Dalam nahas kira-kira jam 8.40 malam itu, mangsa, Muhammad Sad Faiz Md Yushak, 28 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu kereta, lelaki berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Beat dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke arah Balok.

Iklan

"Kereta jenis Inokom Getz dipandu pensyarah kolej itu pula dari arah bertentangan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, semasa mangsa sedang bergerak lurus, kereta terbabit dipercayai masuk ke simpang di sebelah kanan secara tiba-tiba lalu berlaku pelanggaran," katanya.

Iklan

Wan Mohd Zahari berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.