KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan giat memburu van Thailand yang dikesan mempunyai saman tertunggak antaranya melibatkan kesalahan masuk ke negeri ini tanpa Permit Peredaran Antarabangsa (ICP).
Pengarah JPJ negeri Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, setakat ini, lebih 30 van pelancong dari Thailand itu gagal membayar saman termasuk turut melakukan kesalahan menggunakan cermin gelap.
"Biasanya mereka enggan membuka pelekat cermin gelap ketika diperiksa, jadi kami arahkan mereka berpatah balik.
"Jika akur dan patuh kepada peraturan, kita benarkan mereka teruskan perjalanan mengikut prosedur yang betul termasuk perlu memiliki ICP,” katanya kepada pemberita sempena tamat Op Khas Hari Raya Aidilfitri di sekatan jalan raya di sini pada Selasa.
Beliau berkata, kesalahan kenderaan negara jiran itu dikenal pasti hasil risikan dan pemeriksaan menerusi Operasi Saman Tertunggak Kenderaan Pendaftaran Asing Thailand (Ops Tunggak) yang dijalankan di kawasan sempadan negeri, dalam tempoh sehingga Selasa.
Katanya, kebanyakan van penumpang itu dikesan masuk melalui Rantau Panjang yang menjadi pintu masuk utama berbanding lokasi lain seperti Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor.
"Kita juga kesan ada antara mereka yang masih mempunyai tunggakan saman dan berulang kali melanggar peraturan termasuk penyalahgunaan permit.
"Jadi jika mereka dikesan masuk semula, kita akan pastikan saman diselesaikan sebelum dilepaskan,” katanya.
Tambah beliau, selepas sempadan dibuka sepenuhnya pada 2022, penguatkuasaan lebih ketat dilaksanakan bagi memastikan kenderaan asing tidak menyalahgunakan kelonggaran yang diberikan.
"Pemantauan lebih mencabar di Rantau Panjang dan pegawai kami ditempatkan secukupnya untuk meneruskan pemeriksaan serta penguatkuasaan,” katanya.