KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki tempatan kerana membuat ugutan jenayah terhadap penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Selasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu iaitu pegawai penguat kuasa DBKL pada Isnin, jam 1.07 tengah hari.
Beliau berkata, laporan polis yang dibuat adalah mengenai hantaran di laman sosial Facebook mengenai sebuah tangkap layar perbualan kumpulan aplikasi WhatsApp mengenai ancaman dan hasutan kepada penguat kuasa DBKL.
"Pengadu menyatakan tangkap layar perbualan WhatsApp tersebut merupakan satu ancaman, hasutan dan berbau ugutan.
"Ia dibuat dengan niat terhadap penguat kuasa DBKL sebagai penjawat awam yang menguatkuasakan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Susulan laporan tersebut, kata beliau, satu tangkapan telah dibuat jam 12.10 pagi oleh Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Kuala Lumpur.
Menurut beliau, dalam serbuan tersebut, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 57 tahun yang dipercayai telah membuat ugutan jenayah terhadap petugas penguat kuasa DBKL.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.