KULAI - Seorang lelaki disyaki terlibat dalam dua kejadian samun bersenjata menggunakan parang di daerah ini ditahan kurang dua jam selepas insiden dilaporkan pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian pertama membabitkan seorang wanita warga Indonesia berusia 52 tahun disamun dan ditetak di kawasan belakang bangunan sebuah restoran di Jalan Seri Putra.
"Dalam kejadian pada jam 8.26 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan di lengan kiri akibat ditetak menggunakan senjata disyaki parang dan dirawat di hospital.
"Pada hari sama, polis turut menerima satu lagi laporan membabitkan seorang wanita tempatan berumur 36 tahun yang menjadi mangsa samun bersenjata di Jalan Impian Senai Utama, Taman Impian Senai.
Tambah beliau, hasil tindakan pantas dan maklumat diterima, polis berjaya menahan suspek lelaki tempatan berusia 40 tahun dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di Jalan Skudai-Gelang Patah pada jam 10.05 pagi pada hari sama.
"Suspek mempunyai 15 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Ujian saringan air kencing pula positif dadah jenis methamphetamine.
"Antara barangan yang turut dirampas ialah motosikal Yamaha Y15ZR, telefon bimbit, beg tangan, dokumen pengenalan diri termasuk MyKid dan pasport Indonesia, barang kemas, wang tunai serta kotak peralatan bertukang," ujarnya lagi.
Menurut Seng Lee, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
"Permohonan reman telah diluluskan selama tujuh hari bermula 5 hingga 11 April bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.