SUBANG JAYA - Kerajaan Selangor menjangkakan bekalan elektrik dan telekomunikasi di lokasi terjejas akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini, akan pulih sepenuhnya pada Jumaat.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata, insiden ini telah memasuki hari kelapan pada Selasa.
Katanya, kerja penyelarasan isu ini dibuat bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan secepat mungkin di seluruh lokasi yang terlibat dalam insiden berkenaan.
"Bekalan meter akan dipasang sehingga tuan rumah sedia untuk masuk semula ke kediaman, tetapi tempat yang tidak selamat dan rosak teruk tidak akan disambung bekalan elektrik.
"Selain itu, pihak Telekom Malaysia juga memaklumkan perkhidmatan mereka akan dibaik pulih pada Jumaat," katanya dalam sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan berhubung kes ini masih dilakukan dengan teliti bagi memastikan punca sebenar kejadian.
"Siasatan semua sudah sedia maklum, ia akan mengambil sedikit masa, perlu teliti punca sepenuhnya sebelum diumumkan oleh Menteri Besar Selangor mengenai kesimpulan serta bukti berkaitan.
"Kita tidak ada apa-apa hendak sembunyikan. Sekarang ini demi keselamatan semua. Sebelum ini ada insiden yang hampir seperti ini dan perlu diambil kira sebelum didedahkan apa puncanya," ujarnya.
Jelasnya, tidak timbul isu seperti dakwaan di media sosial kerana pihak terbabit di lokasi melakukan kerja dengan kelulusan permit oleh pihak Petronas dan dilaksanakan mengikut prosedur.
Dalam pada itu, katanya lagi, menerusi mesyuarat jawatankuasa yang dilaksanakan, langkah susulan jajaran paip gas seluruh Selangor telah dibincangkan untuk diambil langkah tambahan agar insiden sebegini tidak berulang.
"Itu antara perkara paling penting sedang dibuat di peringkat kerajaan negeri. Perkara ini sedang dibincangkan dan akan dibentangkan kemudian," ujarnya.
Dalam insiden pada 1 April lalu, saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter terbakar hingga mengakibatkan api menjulang tinggi sehingga menyebabkan kerosakan kediaman dan harta benda selain kecederaan kepada penduduk berhampiran.